Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 10am

Bung Moktar Berang Lagi, “Benda Sulitnya” Diraba Di Lapangan Terbang

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) nampaknya sekali lagi membangkitkan isu sama apabila merungut di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu “diraba” ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

Memetik BH Online, Bung Moktar berkata lapangan terbang di negara-negara lain seperti di Kemboja menggunakan peralatan dan mesin yang canggih untuk pemeriksaan keselamatan dan Malaysia sewajar mengikut langkah yang sama.

Mengakui bahawa beliau sering menjadi ‘mangsa’ raba, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menjelaskan mesin yang kurang berkualiti menyebabkan ia terlalu sensitif termasuk kepada aksesori pakaian seperti zip dan butang besi.

"Zip seluar lalu pun berbunyi, butang besi lalu pun berbunyi, sedangkan yang kita cari adalah benda yang benar-benar tajam dan tidak diingini.

"Asal ada besi, dia bunyi, lepas bunyi kena rabalah. Di Eropah dan Singapura, mesin pengimbas hanya sensitif kepada benda yang tidak diingini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Bung Moktar menambah, beliau turut dimaklumkan oleh pihak keselamatan lapangan terbang bahawa mesin pengimbas di negara ini adalah paling murah di dunia.

Susulan kelemahan mesin tersebut, beliau terpaksa menerima kesan apabila sering diraba termasuk ‘benda sulit’.

"Di Kemboja, mereka negara miskin tetapi lapangan terbang mereka ada mesin kelas pertama, tidak pernah raba-raba sebab tidak berbunyi.

"Di tempat kita berbunyi terus, saya sudah banyak kali kena raba, saya betul sakit hati kena raba, kadang-kadang benda sulit kita pun diraba, saya kata jangan raba... saya tidak tahu bila kita boleh berhenti raba-raba, mana boleh raba sana, raba sini, bahaya," katanya memetik portal tersebut.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berharap kementerian berkaitan dapat melihat isu itu dengan lebih serius dan belajar daripada negara membangun dan sedang membangun bagi mengelak lebih ramai penumpang terpaksa melalui pengalaman sepertinya.

"Berhentilah raba-raba, bagi mesin pengimbas berkualiti, hanya berbunyi jika ada bawa benda tajam, pistol, dadah... ini tidak, semua benda lalu, ia berbunyi, berhentilah raba-raba," katanya.

Tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi di Dewan Rakyat menjawab bahawa mesin pengimbas tidak semestinya tepat dan cara memeriksa badan menggunakan tangan adalah cara lebih berkesan.

- mD