Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12pm

Disangka Kayu Rupanya Ular Sawa Kekenyangan

Foto: Sinar HarianFoto: Sinar Harian

SHAH ALAM: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang empat meter dengan berat 30 kilogram di Seksyen U5, hari ini.

Ular sawa itu ditangkap sebaik menerima aduan seorang penduduk yang menemui reptilia itu dalam keadaan kekenyangan di tepi pagar besi berhampiran jalan raya di sini.

Zulkhibri Mohammed, 43 yang sedang berjoging ketika hujan rintik menemui ular sawa itu yang tiba-tiba bertindak agresif.

Katanya, ular sawa yang pada mulanya disangka dahan kayu ditemui di kawasan terbuka dan mungkin boleh mengancam orang awam di sekeliling.

Atas kesedaran itu, dia segera menghubungi talian kecemasan 999 dan menunggu sehingga kehadiran pasukan penyelamat tiba memandangkan terdapat seorang penjual buah-buahan tidak jauh dari lokasi.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Klang, Kapten Shaiful Azril Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 7.43 pagi mengenai kejadian.

“Tiga anggota penyelamat dari APM Daerah Klang tiba dengan kelengkapan dan berjaya menangkap ular sawa yang kekenyangan selepas dipercayai membaham seekor haiwan.

“Saya menasihati orang ramai lebih berhati-hati dengan kehadiran haiwan berbisa,” katanya.

Beliau berkata, musim hujan yang menyebabkan suhu menjadi lembap mampu mengundang kehadiran haiwan berbisa.

- Sinar Harian