Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12pm

Ribuan Serbu Pak Jamal Jual Ikan RM5 Sekilogram

KAJANG – Ketika pembangkang lebih sibuk bercakap rakyat menderita konon harga barangan mahal, mereka tidak pula berbuat apa-apa untuk membantu penduduk kurang berkemampuan.

Sebaliknya, Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos yang sedar dengan permasalahan ini bertindak menolong meringankan rakyat marhaen termasuk menjual pelbagai produk pengguna dengan harga murah.

Terbaharu, beliau yang amat terkenal menerusi pelbagai aksi gimik sinis terhadap skandal kerajaan negeri Selangor, melancarkan siri pertama Program Jelajah Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut di Semenyih pada Sabtu.

Acara tersebut sekali gus membuktikan harga makanan laut itu sebenarnya mahal di pasaran selama ini akibat taktik ‘permainan jahat’ peraih atau orang tengah yang didakwanya bersekongkol dengan pihak pembangkang.

Lebih 1,000 orang sanggup beratur seawal jam 7 pagi di Pasar Tani Bandar Tasek Kesuma itu untuk membeli ikan dengan dijual pada harga runcit istimewa serendah RM5 sekilogram yang lebih murah berbanding pasaran.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, jualan itu julung-julung kali diadakan dengan membekalkan sebanyak empat tan ikan dan ayam untuk rakyat berpendapatan rendah dapat menikmatinya.

“Program jualan seperti ini sememangnya berbeza dengan mana-mana tempat lain, yang mana setiap orang berhak datang untuk membeli sehingga maksimum tiga kilogram ikan dengan harga RM5 sahaja setiap kilogram.

“Semua ini untuk membuktikan bahawa harga jualan ikan yang mahal di pasaran melalui orang tengah ini sengaja dilakukan oleh pihak tertentu supaya rakyat akan marah kepada kerajaan Barisan Nasional diterajui UMNO.

“Maklumlah Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) sudah semakin dekat, jadi mereka (pakatan pembangkang) cuba meraih sokongan daripada rakyat, ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” kata Jamal lagi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Jelajah Jual Ikan Murah di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih di sini hari ini. Turut hadir ialah ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

– Agensi/Mynewshub.cc