Fri11242017

LAST_UPDATEFri, 24 Nov 2017 6pm

Perjanjian RM1 Trilion AS-China: Siapa Jual Siapa?

SEMUA maklum bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China melalui sejarah politik yang tegang sejak 1949 apabila komunis mengambil alih negara paling ramai penduduk di dunia itu.

Sepanjang era Perang Dingin, kedua-dua negara habis berbelanja berbilion-bilion dolar AS dalam membangunkan sistem pertahanan dan kekuatan ketenteraan kerana saling mencurigai.

Malah, hingga sekarang pun, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang dianggap paling berpengaruh dalam blok Barat dan Timur itu sentiasa naik dan turun.

China dan AS agak sepakat dalam isu memboikot Korea Utara kerana isu ujian nuklear, tetapi saling bertelagah dalam isu kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Namun, realiti dunia kini dipacu pembangunan ekonomi. Ketegangan diplomatik tidak boleh menghalang potensi pertumbuhan dan kemakmuran perdagangan pelbagai hala.

Justeru kelmarin, kedua-dua negara akhirnya menandatangani perjanjian perniagaan mega yang bernilai AS$250 bilion atau kira-kira RM1.04 trilion.

Bagi mereka yang takutkan AS dan China dalam dominasi politik, isu ini pasti ditafsir secara buta. Angka nilai dagangan yang besar akan diputarkan menjadi angka politik yang menyebalkan.

Sama seperti mereka menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konon menjual negara apabila mengadakan perjanjian RM55 bilion dangan China.

Najib juga dituduh konon menggadai negara dengan mengadakan perjanjian pembelian Boeing dan pelaburan KWSP di AS ketika melawat Rumah Putih tidak lama dulu.

Penjumud politik sentiasa bersangka buruk. Penjumud politik, selalunya bersikap narsistik seperti Presiden Korea Utara, Kim Jong-un yang sentiasa paranoia dengan persekitaran dunia.

Berbalik isu AS-China, kelmarin Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinpin menandatangani perjanjian perniagaan lebih AS$250 bilion. Ia sempena lawatan Trump ke Beijing.

Jadi, apakah tali-barut AS yang banyak di negara ini akan segera menjerit: Trump! Adakah anda sedang menjual kedaulatan AS kepada pihak China?

Mereka sebenarnya perlu menjerit. Ini kerana tali-barut sentiasa menjerit di Kuala Lumpur menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan tindakan pragmatik Najib.

Sekarang mereka perlu juga menakut-nakutkan 380 juta rakyat AS! Atau lebih hebat, menjerit untuk menakut-nakutkan 1.4 bilion penduduk China pula.

- Agensi