Beri Keutamaan Kepada Barisan Nasional - Hishammuddin

  • Print

Datuk Seri Hishammuddin Tun HusseinDatuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR, 10 Nov -- Anggota Barisan Nasional (BN) khususnya daripada gerakan belia, harus mengetepikan sebarang perbezaan dan meletakkan kepentingan pakatan itu sebagai keutamaan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketika membuat gesaan itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata rakyat harus diberi ingatan bahawa hanya BN yang boleh memberi kestabilan dalam politik dan ekonomi negara ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata kekuatan BN adalah keunikannya daripada kepelbagaiannya yang amat diperlukan untuk mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

“Kita dihormati kerana kepelbagaian dan kesederhanaan kita,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam persahabatan anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Sahabat Malaysia (GPSM) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong serta Penaung GPSM yang juga Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A Vigneswaran.

Majlis makan malam itu juga dianggap istimewa kerana keempat-empat pemimpin itu adalah dalam era yang sama ketika Hishammuddin menerajui Pemuda BN. Hishammuddin merupakan Ketua Pemuda UMNO dari 1998 hingga 2009.

“Persahabatan ini sudah sekian lama kerana ia berdasarkan konsep BN sendiri, yang mencerminkan kerjasama politik pelbagai kaum. Saya berharap kesemua dalam dewan ini boleh mencontohi semangat ini dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Vigneswaran.

Sementara itu, Liow, yang juga Menteri Pengangkutan berkata hanya BN yang berupaya membawa negara ke peringkat lebih tinggi.

“Kerana ada kestabilan di bawah pimpinan BN maka dasar-dasar kerajaan dapat diteruskan …kita mempunyai kerajaan yang inklusif dan sederhana. Kita tidak membenarkan golongan ekstremisme bertapak di negara ini,” katanya.

Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap Pemuda BN dapat membantu barisan kepimpinan negara dalam menangkis persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Kita harus membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan Malaysia tetap bersatu dan tidak terjejas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita perlu memastikan Malaysia terus maju,” katanya.

-- BERNAMA