Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 2am

Rundingan TPPA Belum Berakhir - PM Najib

DA NANG (VIETNAM) 11 Nov – Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam kalangan 11 negara,  belum berakhir meskipun berlaku beberapa masalah yang dihadapai dalam mencapai kata sepakat di Da Nang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada media Malaysia di sini malam tadi, Najib berkata lebih banyak masa diperlukan untuk tujuan itu.

Anggota TPPA, yang bermesyurat di sini sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25, merundingkan perjanjian itu di luar persidangan terbabit.

Mesyuarat Pemimpin TPPA yang dijadualkan semalam, bagaimanapun tidak dihadiri Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, yang sekali gus menjejaskan keyakinan awal bahawa pakatan perdagangan itu akan dimuktamadkan di Da Nang.

Najib  berkata tidak ada alasan khusus yang diberikan, namun kebanyakan pemimpin TPPA  berpendapat bahawa ia lebih bersifat politik daripada substantif.

"Ya, ia tidak dijangkakan, kerana tidak ada petunjuk bahawa akan timbul masalah. Tetapi pada saat-saat akhir, timbul masalah," kata Najib.

Beliau berkata para pemimpin memutuskan bahawa Trudeau memerlukan lebih banyak masa dan ruang untuk memutuskannya bersama ahli politik dan pengundi negara itu.

"Kita perlu percaya kepadanya. Ia tidak disengajakan untuknya membelakangkan TPPA, saya yakin beliau mempunyai  masalah politik di negaranya.

“Saya jangkakan terdapat penilaian pada saat-saat akhir yang membuatkan beliau lebih berhati-hati dan tidak mahu menambah tekanan politik di negaranya," kata Najib.

Beliau  berkata ada usaha untuk menyelesaikan masalah itu, termasuk pertemuan oleh Presiden Jepun Shinzo Abe dengan Trudeau, namun belum mencapai persetujuan.

Ketika ditanya sama ada terdapat tempoh masa bagi negara anggota untuk mencapai persetujuan, Najib berkata:  "Saya fikir kita perlu memberi beberapa bulan lagi.  Secara khususnya, tidak ada tempoh masa ditetapkan”.

Nikkei bagaimanapun memetik Menteri Ekonomi dan Dasar Fiskal Jepun, Toshimitsu Motegi sebagai berkata bahawa para menteri  dari 11 negara TPPA  mengesahkan pada Jumaat mereka telah mencapai persetujuan secara prinsip untuk melaksanakan perjanjian perdagangan itu.

Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Tran Tuan Anh akan mengadakan sidang akhbar bersama hari ini bagi mengumumkan butiran lanjut mengenai perjanjian itu, katanya.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia mahukan perjanjian yang boleh diterimanya.

"Kita mempunyai keperluan sendiri dan akan memastikan ia menjadi sebahagian daripada keputusan akhir TPPA. Kita mahukan TPPA, tetapi perlu berdasarkan syarat kitai. Itulah yang saya selalu tekankan," tegas beliau.

-- BERNAMA