Penyatuan Ciri Dan Nilai Serumpun Penting Buat Malaysia-Indonesia

  • Print

Tuanku Syed Faizuddin Putra JamalullailTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Penyatuan ciri dan nilai serumpun di alam Melayu antara Malaysia dan Indonesia adalah penting bagi kedua-dua negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin  Putra Jamalullail.

Baginda bertitah keadaan ini demi memastikan kelangsungan hayat survival tamadun bangsa terus gah di mata dunia.

“Malaysia dan Indonesia berkongsi ciri dan nilai serumpun...penyatuan ini hakikatnya adalah penting bagi kedua-dua negara,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaJ) edisi ke-5 yang diadakan di Rumah Jabatan Walikota Makassar, Sulawesi malam tadi.

Keberangkatan baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis disambut oleh Kepala Dinas Pendidikan Kota Makassar Ir. Ismunandar MM dan Rektor Universitas Islam Negeri (UIN) Prof Dr Musafir Pabbari.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut kenyataan media oleh YTSP, seminar bertemakan ‘Memperkasakan Tamadun Bangsa’ itu dianjurkan oleh Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti (IKRK) UniMAP dengan kerjasama UIN, Alauddin Makassar, Indonesia.

Berlangsung selama dua hari bermula semalam, seminar itu turut mendapat kerjasama YTSP, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Bhd, Yayasan UniMAP, UniMAP Holdings dan Proven Group of Companies.

-- BERNAMA