Najib Suarakan Kebimbangan Anti-Globalisasi Dalam APEC

  • Print

DA NANG (VIETNAM), 10 Nov -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan anti-globalisasi dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bercanggah dengan aspirasi asalnya.

“Saya melihat peralihan besar daripada APEC tahun lepas berbanding tahun ini. Saya melihat nada yang berbeza. Saya melihat peningkatan anti-globalisasi, dasar yang tertutup.

“Ironinya, ia bertentangan dengan keseluruhan objektif dan tujuan paling penting penubuhan APEC,” kata Najib semasa sesi panel Sidang Kemuncak CEO Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2017, di sini, hari ini.
Beliau berkata APEC tidak seharusnya melencong daripada peranan asalnya.

“Kita perlu melihat ke manakah hala kita selepas ini, Apakah maknanya dari segi Bogor Goals, perdagangan bebas, komitmen ke arah AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN). Kita perlu banyak bermuhasabah diri semasa APEC ini,” katanya.

Najib berkongsi pentas dengan Perdana Menteri Papua New Guinea Peter O’Neil semasa sesi panel yang dipengantarakan oleh hos CNBC Nancy Hungerford.

“Globalisasi bukan satu pilihan, dan juga bukan sesuatu yang kita boleh ketepikan tanpa berisiko dipinggirkan.

“Anda perlu mengikut perubahan, anda perlu menghadapinya dan menyahut cabaran dan perlu membuat dasar dan program yang sewajarnya.

“Kami melihat globalisasi baik bagi kami di Malaysia dan dunia. Tetapi anda tidak boleh membiarnya tidak terkawal dan memastikan intervensi yang positif,” katanya.

Memberi contoh intervensi positif, Najib berkata di Malaysia, pemandu teksi membantah pemandu UBER dan GRAB kerana merampas perniagaan mereka.

“Apa yang kami lakukan? Mengharamkan UBER adalah bukan sama sekali caranya. Jadi, kami tukarkan mereka menjadi pemandu UBER. Kerajaan menyediakan geran kepada mereka untuk membeli kereta baharu agar mereka boleh menjadi pemandu UBER,” katanya.

Dengan globalisasi, beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang menjual produk mereka ke peringkat antarabangsa dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global kerana ia menyamakan kedudukan dan menjadikannya lebih adil kepada mereka.

“Apabila anda lebih kecil, anda lebih lincah tetapi kunci untuk laksanakannya adalah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global pada kos yang sangat rendah. Macam mana nak lakukannya? Menerusi e-dagang.

“Itulah sebabnya mengapa kami sangat teruja dengan Zon Perdagangan Bebas Digital kerana 2,000 PKS dalam masa yang singkat kini menjadi sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global dan bilangannya semakin meningkat,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya memberikan contoh ‘raja buah’, durian, dan bagaimana ia meningkatkan pendapatan petani menerusi perdagangan terbuka dan globalisasi.

"Durian adalah ibarat seperti ‘kaviar’ kepada kami. Rasanya sangat enak walaupun baunya kurang menyenangkan. Saya rasa itulah gambaran yang paling sesuai untuk durian. Ia biasanya dijual dalam harga RM5 hingga RM10 sekilogram. Tetapi sekarang kami boleh menjual di China, dan orang China sukakannya. Kini dengan tiba-tiba harga meningkat sehingga RM150 sekilogram,”katanya.

Malaysia, katanya, akan mengukur kemajuannya ke arah 2020 kerana ia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin APEC pada masa itu.

“(Tahun) 2020 merupakan tahun yang sangat bertuah bagi Malaysia kerana kami telah menetapkan sasaran menjadi ekonomi maju menjelang 2020.

“Sebagai sebuah negara dagangan utama, kami akan mendapat manfaat daripada rejim perdagangan bebas dan terbuka, kami mahu mencapai matlamat itu, kami mahu melihat pengurangan halangan tarif dan bukan tarif. Kami mahu memudahkan lagi urusan menjalankan perniagaan, menggalakkan pelaburan dan kami percayakan ekonomi digital,” katanya.

Sehubungan itu, Malaysia menerajui kepimpinan semasa Sidang Kemuncak APEC ini untuk menghasilkan pelan tindakan dan pelan hala tuju bagi ekonomi digital dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada agenda utamanya.

Semasa sesi panel sejam itu, Najib juga menjawab soalan mengenai inisiatif One Belt and One Road (OBOR), pencapaian APEC, Perkongsian Trans-Pasifik, keseimbangan kuasa AS-China serta ancaman keganasan dan peluru berpandu nuklear Korea Utara.

-- BERNAMA