Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12pm

Kejadian Tanah Runtuh Di Tanjung Bungah Kerana Tiga Kecuaian

GEORGE TOWN, 10 Nov -- Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu mendakwa punca kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Okt lepas, adalah disebabkan tiga kecuaian.

Beliau berkata tiga kecuaian itu ialah dari segi kelulusan, pemantauan dan gagal mematuhi garis panduan.

"Tiga pihak sekurang-kurangnya kena bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan itu. Kita kena ambil maklum informasi ini supaya satu pelan lebih baik dan sempurna diadakan serta garis panduan semua dipatuhi.

"Bencana ini boleh dielak jika semua perkara ini diambil kira kerana ia berlaku di satu lereng bukit yang dijalankan kerja-kerja pembinaan. Kecuaian berlaku apabila kerja tanah mungkin tidak sempurna dan kerja-kerja binaan sudah pun dijalankan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam insiden 21 Okt lepas, kejadian tanah runtuh di tapak projek berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; lima Bangladesh; dua Indonesia; dua Myanmar dan seorang Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.

Ketika kejadian pada 8.57 pagi itu, kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik tersebut.

Kerajaan negeri turut menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang untuk menentukan punca kegagalan cerun pembinaan sementara di tapak projek berkenaan.

Teh berkata topografi turut membuktikan kawasan kejadian itu adalah sebahagian daripada bukit dan ia sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kawasan tersebut terdiri dari tanah rata.

"Kita boleh pastikan ia sebahagian dari bukit. Topografi ini adalah topografi yang boleh buktikan ia memang satu tapak lereng bukit dan jangan lupa juga di tapak tanah runtuh di bahagian atas ada sebatang sungai yang tidak diketahui semua. Saya harap ini juga boleh diambil maklum oleh Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Teh sekali lagi meminta kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menjadi negeri pertama yang mendahului langkah mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri selama dua penggal.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan cadangan Pakatan Harapan nasional yang mengumumkan bahawa jika mereka mengambil alih pentadbiran di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), salah satu ikrar adalah mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
Katanya cadangan itu juga bertepatan dengan isu yang beliau sering kemukakan pada persidangan DUN Pulau Pinang sebelum ini.

"Saya harap kerajaan Pulau Pinang, terutamanya Yang Amat Berhormat Ketua Menteri jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menggubal perlembagaan negeri bagi maksud tersebut.

"Satu (pembaharuan) legasi akan tercipta kalau Pulau Pinang mendahului langkah itu. Ia akan mewujudkan Pulau Pinang yang lebih progresif sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengundi kita (Pakatan Harapan) pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin depan.

-- BERNAMA