Wed11222017

LAST_UPDATEWed, 22 Nov 2017 9am

Tubuh Jawatankuasa Khas, Persiapkan Pulau Pangkor Sebagai Pulau Bebas Cukai

Datuk Seri Dr Zambry Abd KadirDatuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

LUMUT, 10 Nov -- Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas dalam menentukan beberapa perkara selain membuat persiapan di Pulau Pangkor yang bakal menjadi pulau bebas cukai, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata ia juga diwujudkan bagi memudahkan perbincangan dapat dilakukan antara pihak Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri mengenai kedudukan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai kelak seperti yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 pada 27 Okt lepas.

Zambry berkata melalui jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan beliau sendiri, pihaknya dapat berbincang mengenai penjualan arak, rokok yang tidak akan tersenarai dalam barangan bebas cukai di pulau itu memandangkan kesannya terhadap masyarakat.

"Jadi, kerajaan telah membuat keputusan (arak dan rokok bukan item bebas cukai) dan kita menghormati keputusan itu sekali gus membentuk satu sistem pulau bebas cukai yang bukan semata-mata orang memikirkan ia hanyalah tertakluk kepada barangan tertentu seperti arak dan rokok.

Sedangkan pulau bebas cukai boleh dijenamakan dengan pelbagai produk-produk lain seperti pinggan, mangkuk, pakaian, aksesori, minyak wangi, coklat dan pelbagai lagi,"katanya pada sidang media selepas Majlis Pertemuan bersama Ahli Persatuan Pemandu Teksi Pulau Pangkor di sini malam ini.

Sementara itu, Zambry berkata pemandu teksi mempunyai tanggungjawab besar menaikkan imej pulau itu memandangkan pelancong akan menggunakan perkhidmatan mereka setiap kali menjejakkan kaki di pulau tersebut.

Zambry berkata beliau sering mengingatkan pemandu teksi di pulau itu supaya menjaga tingkah laku dan cara kerja biarpun sehingga kini beliau sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor tidak pernah menerima sebarang laporan serius mengenai sikap pemandu teksi di kawasan yang diwakilinya.

"Malah, mereka sanggup mengambil inisiatif sendiri dengan mengikuti latihan pelancongan dan setakat ini kumpulan pertama telah dihantar bagi memberi input bagaimana mereka menjadi jurucakap pelancongan di Perak.

Kita akan terus menghantar (pemandu teksi) dan saya berharap mereka akan jalani latihan dari semasa ke semasa dan saya menjangkakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang Pangkor akan menjadi tempat lawatan pelancong dalam dan luar negara,"katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata pihaknya sedang giat mencari kaedah terbaik bagi menjadikan perkhidmatan teksi sebagai satu tarikan unik di Pangkor dengan melihat semula keadaan teksi selain melakukan pembaikan terhadap teksi yang telah uzur.

"Mungkin keunikan dari segi van (teksi) itu sendiri, tempoh masanya, mungkin bentuk van yang lain atau warnanya atau jenis van yang digunakan.

Perlahan-perlahanlah kita tidak boleh buat secara serentak kerana banyak kekangan seperti kewangan, kita perlu berbincang terlebih dahulu,"katanya.

--BERNAMA