Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 2am

Sivasangari Selangkah Lagi Memenangi US$10,000 Skuasy Terbuka Malaysia

S. Sivasangari.S. Sivasangari.

KUALA LUMPUR -- Pemain skuasy negara, S.Sivasangari selangkah lagi untuk bergelar juara pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kali ini yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Sivasangari terus mengekalkan rentak kemenangan menewaskan Satomi Watanabe dari Jepun dengan 11-8, 6-11, 11-2,11-7 pada perlawanan separuh akhir di gelanggang Arena Nicol David.

Remaja berusia 18 tahun itu juga dalam prestasi terbaik untuk menjuarai siri jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) yang paling bernilai dalam koleksi peribadinya iaitu hadiah berjumlah US$10,000 (RM42,265).

Bagi Sivasangari beliau mempunyai tugas yang lebih penting pada final esok yang perlu difikirkan berbanding jumlah hadiah wang tunai seperti yang ditawarkan itu.

“Ya, esok adalah final pertama US$10,000 (hadiah) saya, saya sangat gembira melangkah ke final di Malaysia. Bagi saya perjuangan belum tamat masih ada satu lagi cabaran yang perlu harungi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

Sivasangari akan bertemu Milnay Louw dari Afrika Selatan yang menewaskan pemain utama kejohanan Zeina Mickawy dari Mesir 5-11, 11-6, 11-6, 12-10.

“Esok lebih mencabar, saya pernah bertemu Louw tiga minggu lepas di Perancis dan memenangi perlawanan 3-0, tetapi beliau pasti akan bangkit pada final esok,” katanya. 

Sivasangari berkata kejohanan ini sangat penting kerana selepas Datuk Nicol David memenangi kejohanan itu sebanyak lapan kali kini peluang pemain remaja tempatan pula mencipta nama dihadapan penyokong negara.

Mengenai perlawanan hari ini, Sivasangari berkata beliau banyak melakukan kesilapan pada set kedua yang menyebabkan dia tewas kepada Satomi.

“Sangat sengit dalam dua set pertama, Satomi bermula dengan lebih agresif. Pada set kedua kesilapan saya adalah membiarkan Satomi mengawal gelanggang,” katanya.

Sementara itu, Louw berkata final esok mungkin menjadi perlawanan yang sukar kerana berhadapan Sivasangari di hadapan penyokong tuan rumah.

“Sivasangari sangat konsisten, saya tewas 0-3 kepadanya tiga minggu lepas di Perancis, saya belajar daripada kesilapan lalu dan akan memberikan tentangan sengit kepadanya esok,” kata Louw.

-- BERNAMA