Fri11242017

LAST_UPDATEFri, 24 Nov 2017 6pm

Lelaki Maut Ditikam Di Luar Pusat Hiburan

KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas ditikam di bahagian perut oleh suspek bersenjatakan pisau dalam kejadian di luar sebuah pub di Lorong Haji Ahmad 6, Jalan Haji Ahmad di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Othman Nanyan berkata ketika kejadian pukul 3.45 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dikatakan sedang berbual dengan seorang rakannya di luar premis hiburan berkenaan.

“Tidak lama selepas itu, dua suspek lelaki yang memakai topeng ski berwarna hitam dan berpakaian gelap dengan bersenjatakan pisau serta parang dipercayai telah menghampiri mangsa.

“Secara tiba-tiba, seorang daripada mereka telah mengeluarkan sebilah pisau yang dibawanya lalu menikam mangsa di bahagian perut sehingga cedera parah.

“Mereka kemudiannya bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta yang gagal dikenal pasti nombor pendaftarannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Othman berkata susulan kejadian itu, rakan mangsa segera membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia apabila tiba di HTAA akibat kecederaan parah dan bedah siasat mayat mangsa telah dilakukan pagi ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan kes itu yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Othman meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

– BERNAMA