Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 2am

Shafie Ditahan SPRM Bantu Siasatan Penyelewengan Dana Di Sabah

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

KOTA KINABALU -- Bekas  Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.

Mohd Shafie,60, ditahan kira-kira 9 malam ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah hari ini.

Sebelum itu, Anggota Parlimen Semporna berkenaan tiba di pejabat SPRM di sini kira-kira 5.15 petang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur pada kira-kira 3.30 petang.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi)  SPRM Datuk Seri Azam Baki  ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Mohd Shafie  tetapi enggan mengulas lanjut.

Esok Mohd Shafie dijangka dibawa ke mahkamah pagi permohonan tahanan reman.

Sementara itu, seorang jurutera awam yang juga perunding sebuah syarikat, Amarjit Singh turut ditahan SPRM pada kira-kira 2.45 petang tadi di pejabat SPRM Sabah.

 Amarjit , 47,  ditahan ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana berkenaan.

Dengan penahanan Mohd Shafie yang juga presiden  Parti Warisan Sabah dan jurutera berkenaan, jumlah individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan isu dana di Sabah kini berjumlah 11 orang.

Dua daripada 11 individu berkenaan ialah adik kepada Mohd Shafie iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Yusof Apdal dan Hamid Apdal.

Daripada jumlah itu, sembilan daripadanya telah direman dengan lapan daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA