Fri10202017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Pekerja Kilang Wanita Maut Dirempuh Lori

PARIT BUNTAR: Seorang pekerja kilang wanita maut dirempuh lori yang dipandu seorang lelaki di premis memproses kelapa di Jalan Pantai, Kuala Kurau di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa Haryati Sazali, 34, dari Kampung Tok Ngah, Kuala Kurau, dekat sini, maut di lokasi kejadian.

Difahamkan kejadian berlaku selepas lori dipandu lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu hilang kawalan dan merempuh mangsa yang berada di hadapan sebelum kenderaan itu terkandas pada tiang premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas paramedik yang tiba di lokasi.

"Pemandu lori belum dikenal pasti identitinya telah menghilangkan diri dan pihak polis sedang mengesannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 petang dan anggota yang tiba dimaklumkan mangsa turut digilis lori berkenaan.

Katanya, anggota kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 6.37 petang.

- BH Online