Mon12112017

LAST_UPDATEMon, 11 Dec 2017 10am

TPM Dijadual Lancar Inisiatif Johor Untuk Rakyat Esok

JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan melancar lima inisiatif kerajaan negeri Johor yang bakal memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat negeri ini.

Pelancaran itu akan dilakukan pada majlis penutup Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri dekat sini, petang esok, kata Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor (Medkom) dalam kenyataan hari ini.

Inisiatif pertama melibatkan penyerahan 95 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di seluruh daerah yang siap dibaik pulih kepada kerajaan negeri dan pelantikan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai kontraktor reka serta bina bagi projek SAKJ fasa lima.

Inisiatif kedua adalah penyerahan sekolah agama dalam FELDA kepada kerajaan negeri bagi tujuan menaik taraf manakala inisiatif ketiga merupakan pelancaran Digital Halal Martz yang dibangunkan PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJH) sebagai usaha meningkatkan jualan produk-produk halal usahawan kecil dan sederhana.

Menurut Medkom inisiatif keempat membabitkan pelancaran KPJ Healthcare – IBM Watson yang memperkenalkan sistem pengurusan pesakit kanser pertama di negara ini menerusi penggunaan teknologi perubatan moden.

Ahmad Zahid juga dijadualkan menyaksi majlis simbolik pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara QSR Brands Holding (M) Berhad dan Telekom Malaysia Berhad, yang merupakan inisiatif kelima kerajaan negeri Johor.

Perjanjian terbabit adalah bagi menyediakan perkhidmatan internet percuma kepada pelanggan di restoran KFC dan Pizza Hut seluruh negara termasuk 140 outlet KFC dan Pizza Hut di Johor.

Ekspo Johor Berkemajuan 2017, yang bermula dari 6 Okt hingga esok, dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Okt lepas.

Kira-kira 31 program ikonik diadakan sepanjang sembilan hari program itu termasuk dalam bentuk pameran, pelancaran, persembahan dan majlis perkahwinan beramai-ramai, selain peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebanyak tiga kluster utama diketengahkan pada ekspo itu iaitu kluster kerajaan negeri, Pelan Pertumbuhan Johor (PPSJ) dan sektoral.

- Bernama