Fri10202017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Penulis Blog ‘Sang Kelembai’ Didakwa Kes Jelik

KLANG – Penulis blog ‘Sang Kelembai’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan aplikasi Facebook, Oktober tahun lepas.

Datuk Abd Zarin Mohd Yasin, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Beliau didakwa secara sedar melakukan kesalahan itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dibaca di pautan https://www.facebook.com/zahrinmohdyasin/posts/10207687390002554, kira-kira 9 malam pada 8 Oktober lepas, di Taman Sri Putra, Sungai Buloh.

Abd Zarin yang juga Ketua UMNO Cawangan Sri Labuan, Bandar Tun Razak, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil “Zaharin Mohd Yasin” kira-kira 8.49 malam pada 8 Oktober tahun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria mencadangkan supaya Abd Zarin dibebaskan dengan jaminan RM5,000.

Peguam Muhammad Fitri Abdullah Wahid yang mewakili Abd Zarin bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya yang mempunyai empat orang anak tidak bekerja dan hanya mendapat komisen daripada penulisan blog.

Hakim Tasnim kemudian membenarkan Abd Zarin dibebaskan dengan jaminan RM4,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 16 November depan untuk pengurusan kes.

Beliau turut memerintahkan pasport antarabangsa Abd Zarin yang turut diwakili peguam Adnan Seman, diserahkan kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Abd Zarin membayar wang jaminan.

- Bernama