Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Laskar Kanan Didakwa Bunuh Dua Anggota TLDM

LUMUT: Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini mendakwa seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas tuduhan membunuh dua Laskar Kelas 1 TLDM di Bilik Tahanan Unit (BTU) TLDM Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini bulan lalu.



Laskar Kanan Muhd. Izhrifikri Roslee, 29, dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang, 29 September lalu.

Tertuduh yang merupakan pengawal bilik tahanan tersebut didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Padang Latihan Bilik Tahanan Unit (BTU) TLDM Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Muhd. Izhrifikri juga didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Lailaltuiman Mohd.Sukri, 26, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Ketua Unit Pendakwa Perak, Yusaini Amer Abd. Karim mengemukakan kedua-dua tuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen 302 akta tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muhd. Izhrifikri dilihat hanya menganggukkan kepala tanda memahami pertuduhan sebaik kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Syaqira Ibrahim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhd. Izhrifikri .

Mahkamah menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu, dua lagi Laskar Kanan TLDM, Hamzah Zakaria, 35, dan Mohd. Farid Musa, 32, yang juga bertugas sebagai pengawal bilik tahanan didakwa atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailaltuiman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.

- Antarapos