Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Najib Percaya Penggunaan Gajet Dalam Kelas Ransang Minat Pelajar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin penggunaan gajet pintar dalam proses pembelajaran di dalam kelas mampu menambah ransangan dan minat pelajar di sekolah.



Najib berkata demikian selepas melalukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), di sini, bagi melihat kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang dilaksanakan di sekolah berkenaan.

"Kaedah ini saya yakin dapat melahirkan generasi baharu kita yang mempunyai kemampuan berfikir secara lebih kreatif dan kritis selain menambah keyakinan berkomunikasi di samping dapat bekerjasama dalam satu pasukan.

"Pada keseluruhannya suasana di dalam kelas lebih positif dan bertenaga berbanding cara lama atau konvensional," katanya kepada pemberita.

Lawatan itu turut disertai  Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Najib juga berpeluang melihat sendiri kaedah tenaga pengajar berinteraksi dengan pelajar di dalam kelas.

Najib mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan kerana berjaya dalam membuat percubaan melaksanakan konsep PAK-21 dan berharap ia dapat diperluaskan.

Dalam pada itu Mahdzir yang ditemui pemberita selepas program itu menjangkakan Perdana Menteri akan memberikan peruntukan dalam Bajet 2018 yang akan dibentang 27 Okt ini, untuk mengubah suai kelas di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjadi kelas PAK-21.

"Pada cadangan kementerian (peruntukan dalam bajet 2018) mungkin untuk 1,000 buah sekolah, satu sekolah dua kelas pintar, jadi kita cadangkan 2,000 kelas," katanya.

Setakat ini, Mahdzir berkata terdapat sekolah yang mempunyai kelas PAK-21 yang dibiayai dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan alumni dan sektor swasta.

"Ada juga sekolah berasrama penuh dan kebanyakan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) yang mempunyai kelas pintar, turut menerima sumbangan daripada pihak luar," katanya.

- Antarapos