Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Sama Ada Bersama GAGASAN Atau PH, PAS Tetap 'Musuh' BN Pada PRU14 - Shukur

SHAH ALAM: Pelancaran Gagasan Sejahtera (GAGASAN)  peringkat negeri Selangor yang dijangka berlangsung malam ini jelas memperlihatkan penolakan PAS terhadap Pakatan Harapan (PH), kata seorang ADUN Umno.



ADUN Kuang Datuk Abdul Syukur Idrus berkata, situasi itu yang memperlihatkan perpecahan pembangkang, sudah cukup untuk memberi isyarat kepada rakyat khususnnya di Selangor sebelum membuat penilaian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).  

"Dengan penubuhan GAGASAN ini menunjukkan pembangkang sudah tidak bersatu.

"Ini juga menunjukkan PAS mempunyai wawasan mereka walaupun hari ini dilihat PAS tidak lagi bersama PH, namun apa yang ditubuhkan hari ini bererti PAS telah menunjukkan ketegasannya untuk berada dalam landasan yang berlainan selain PH," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelancaran Gagasan Sejahtera peringkat negeri Selangor yang dijangka bakal dilaksanakan malam ini di Tanjung Karang.

Mengulas lanjut, katanya, sama ada PAS bersama GAGASAN atau PH, Umno-BN tetap akan menentang parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu pada PRU akan datang.  

Syukur menambah Umno-BN di Selangor tidak akan leka dengan kemelut yang melanda pembangkang pada hari ini, selain menegaskan partinya itu akan terus bekerja keras demi menambat semula hati rakyat negeri itu agar kembali menyokong mereka.

"Kita tidak akan beranggapan mudah, dan kita akan beranggapan apa yang berlaku pada pembangkang, mereka adalah musuh kita kerana sama ada mereka di dalam PH atau di dalam Gagasan, mereka tetap menjadi musuh kepada Umno dan BN.

"Kita harap rakyat dapat melihat bahawa parti-parti pembangkang ini begitu ghairah untuk berkuasa dan kini sedang berpecah-belah.

"Apa juga perkembangan yang mereka lakukan, kita tidak akan mengambil mudah dan kita (BN) akan terus berjuang membela rakyat supaya rakyat kembali melihat kewibawaan Umno dan BN," ujarnya lagi.

Untuk rekod, GAGASAN ditubuhkan tahun lepas dengan pada awalnya hanya disertai PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Namun pada himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini, dua lagi parti baru diumumkan menyertai GAGASAN iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Penubuhan GAGASAN ini seterusnya mewujudkan satu lagi blok pembangkang selain PH .

- Antarapos