Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Dua Anggota Polis Trafik Maut Kemalangan

CHUKAI – Dua anggota polis trafik maut, selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi terbabit kemalangan di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat Teluk Kalung, di sini, petang ini.

Kemalangan kira-kira jam 2.25 petang tadi mengorbankan Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal I Suresh, 36, kedua-duanya dari dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun; langsung di tempat kejadian.

Ketika kejadian, dua anggota trafik itu bersama tujuh pegawai dan 18 anggota trafik lain dalam konvoi menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan menunggang jarak jauh motosikal berat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata mereka menyertai latihan itu di Mersing, Johor dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah lori kecil jenis KIA dipercayai memasuki laluan konvoi terbabit lalu merempuh dua motosikal jenis CBX 750 yang ditunggangi mangsa.

“Berikutan kejadian itu kedua-dua anggota terbabit tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Said berkata, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kita menahan pemandu dan kelindan lori terbabit untuk siasatan lanjut serta melakukan ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

- Berita Harian