Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 2pm

Bajet: BR1M Dijangka Ditambah

Foto: UtusanFoto: UtusanKUALA LUMPUR: Bajet 2018 dijangka menjadi bajet bersifat mesra rakyat dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mungkin ditambah RM150 daripada paras sekarang iaitu RM1,200 dan RM900 kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menurut Ahli Ekonomi, M. Manokaran, unjuran mengenai BR1M itu merupakan satu daripada lima perkara yang dijangka dijadikan tumpuan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2018 akhir bulan ini.

Empat lagi perkara itu ialah bonus kepada penjawat awam dan pesara, skim pekerjaan graduan, lebih banyak inisiatif rumah mampu milik dan pelaksanaan subsidi petrol untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Manokaran yang merupakan Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank berkata, pemberian BR1M itu diunjur memberi manfaat kepada golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

“Kami menganggarkan ke­ra­jaan bakal meningkatkan pem­berian BR1M sebanyak RM150 kepada semua golongan masyarakat dengan anggaran perbelanjaan bantuan berkenaan naik RM700 juta kepada RM7.5 bilion pada 2018,’’ katanya dalam nota kajian Bajet 2018 di sini hari ini.

Bajet 2018 bakal dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27 Oktober ini.

Manokaran yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkata, Bajet 2018 akan memberi lebih tumpuan kepada keselesaan orang ramai termasuk pengenalan beberapa inisiatif khas bagi meningkatkan pendapatan boleh guna sebagai satu cara mengurangkan kenaikan kos sara hidup.

Menurutnya, beberapa inisiatif seperti BR1M, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) bakal diteruskan termasuk memper­kenalkan langkah-lang­­kah pembiayaan akhir yang le­bih baik.

“Kerajaan juga dijangka meng­umumkan pemberian bonus sebulan gaji kepada semua penjawat awam dan RM500 kepada pesara kerajaan serta peningkatan elaun pesara kerajaan yang tidak disemak semula sejak tahun 2002 pada kadar RM95,” katanya.

Manokaran berkata, pihak­nya berpendapat kerajaan juga akan meluaskan projek PR1MA dan PPA1M serta cadangan penyewaan rumah transit baharu kepada graduan yang baru tamat pengajian.

Selain itu katanya, pelaksa­naan subsidi pet­rol kepada go­longan B40 melalui kad petrol khas untuk penerima BR1M bo­leh meringankan beban golo­ngan berkenaan.

“Kami menganggarkan bahawa 20 peratus subsidi bagi 50 liter setiap bulan untuk setiap isi rumah akan menelan belanja sekitar RM1.2 bilion kepada kerajaan.

“Dari segi ekonomi, kami te­lah menyemak semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 5.4 peratus berbanding 5.2 peratus sebelum ini manakala KDNK pada 2018 diramalkan berkembang pada lima peratus,” katanya.

-Utusan