Mon12112017

LAST_UPDATEMon, 11 Dec 2017 7pm

Pelajar Malaysia Naib Juara Pidato Bahasa Mandarin Di Beijing

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia, Nur Afifah Elias mengharumkan nama negara apabila muncul naib juara Pertandingan Pidato Bahasa Mandarin Pelajar Antarabangsa 2017 di Beijing, China, semalam.

Nur Afifah adalah pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mengikuti pengajian Bahasa Mandarin di Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing.

Seorang lagi pelajar Malaysia, Lin Syahirah Hishamuddin dari Universiti Bahasa dan Budaya Beijing, mendapat hadiah sagu hati.

Kedua-duanya pelajar tahun akhir.

Pertandingan itu turut disertai pelajar dari Russia, Itali, Sweden, Jamaica, Korea, Jepun dan Thailand.

Pejabat Education Malaysia Beijing dalam kenyataannya, berkata menerusi pertandingan itu, kemampuan pelajar Malaysia menguasai Bahasa Mandarin sangat terserlah.

"Ini menunjukkan usaha kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan amat tepat sekali dengan menyediakan platform terbaik bagi penguasaan Bahasa Mandarin," kata kenyataan itu.

Ketika ini, seramai 322 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian Bahasa Mandarin dua universiti itu.

Education Malaysia Beijing juga berharap usaha menghantar pelajar Malaysia ke China akan diteruskan dan akan memperkasakan hubungan antara Malaysia dan China.

 -Berita Harian