Wed12132017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 11pm

Kos Rawatan Hepatitis C RM500 Menjelang Hujung Tahun Ini

Foto: BernamaFoto: BernamaPUTRAJAYA: Kos rawatan Hepatitis C di negara ini akan lebih berpatutan tidak lama lagi iaitu hingga serendah RM500, dan ini menjadikannya lebih mudah diperoleh pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata hari ini, Kabinet telah meluluskan penggunaan Hak Kerajaan di bawah Akta 1983 (Akta 291) dengan memanfaatkan penciptaan tablet Sofosbuvir 400mg yang dipatenkan, di mana kos rawatan akan menjadi lebih rendah dan dengan itu lebih banyak pesakit akan dapat dirawat.

Katanya, sekarang, kos bagi rawatan Hepatitis C ialah kira-kira RM50,000 dan ini menyebabkannya kurang dapat diakses oleh pesakit.

"Oleh kerana Hepatitis C kini menjadi masalah kesihatan utama dalam kalangan orang ramai di Malaysia, maka adalah penting akses kepada rawatannya ditingkatkan untuk kebaikan negara,” kata beliau kepada pemberita di Kementerian Kesihatan di sini.

Dr Subramaniam berkata keputusan melaksanakan Hak Kerajaan itu dibuat setelah usaha Kementerian Kesihatan untuk memasukkannya ke dalam ‘Medicine Patent Pool (Himpunan Paten Ubat) (MPP) dan rundingan harga dengan pemegang paten, tidak berhasil.

Kata beliau, pemerolehan tablet Sofosbuvir 400mg akan sejajar dengan prosedur pemerolehan semasa kerajaan.

Beliau berkata pelaksanaan Hak Kerajaan terhadap tablet Sofosbuvir 400mg hanya melibatkan kemudahan kerajaan iaitu hospital Kementerian Kesihatan dan hospital Angkatan Tentera.

Pada fasa permulaan, ia akan hanya ditawarkan di 12 hospital Kementerian Kesihatan, dijangka mulai akhir tahun ini, katanya.

"Kriteria pemilihan pesakit yang akan menerima rawatan itu akan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan pakar klinikal,” kata beliau.

Dr Subramaniam berkata terdapat kira-kira 500,000 penghidap Hepatitis C di Malaysia ketika ini dan dianggarkan 2,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.

-BERNAMA