Fri09222017

LAST_UPDATEFri, 22 Sep 2017 8am

Amarjit Bakal Anggotai Kerusi Pengurusan Eksekutif UCI - MNCF

Datuk Amarjit Singh.Datuk Amarjit Singh.KUALA LUMPUR -- Martabat sukan berbasikal Malaysia berada di kemuncak tertinggi apabila Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Amarjit Singh kini merupakan calon panas untuk untuk memenangi pertandingan Pilihanraya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2017 di Norway pada 21 Sept ini.

Beliau yang juga Anggota Pengurusan Eksekutif Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) akan bertanding dalam kategori kerusi anggota pengurusan eksekutif UCI bersama dua lagi wakil dari benua Asia iaitu calon Indonesia, Raja Sapta Oktohari dan Khalid Al-Khalifa dari Bahrain.

Menurut satu kenyataan dari MNCF hari ini, Amarjit dianggap sebagai calon pilihan berdasarkan kaji selidik yang dijalankan dalam kalangan peminat sukan berbasikal Asia.

Presiden MNCF, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan beliau dimaklumkan Amarjit Singh mendahului dari segi gaya kepemimpinan dan populariti dalam kalangan penggiat sukan berbasikal di Asia.

"Pilihanraya UCI akan diadakan pada 21 September nanti dan saya difahamkan Datuk Amarjit mendapat perhatian serius di kalangan delegasi mengundi pilihan raya UCI dari benua Eropah, Afrika dan Asia,” kata kenyataan itu.

Lebih menarik sekiranya menang, Amarjit akan mengikuti jejak langkah bapanya Tan Sri Darshan Singh yang pernah menganggotai kerusi anggota pengurusan eksekutif UCI era 1990-an.

Kemenangan Amarjit itu nanti akan meneruskan kecemerlangan Malaysia kerana Abu Samah sendiri terpilih sebagai calon tunggal dari benua Asia untuk bertanding dalam kategori kerusi Anggota Pengurusan Eksekutif UCI pada Pilihanraya 2013.

Sementara itu menurut kenyataan itu, Amarjit menjelaskan beliau optimis untuk menang Pilihanraya UCI 2017 sekali gus menaikkan martabat sukan berbasikal Malaysia.

"Seandainya menang di Bergen, Norway nanti, saya akan sentiasa kemukakan pelbagai idea di peringkat dunia bagi menaikkan kualiti sukan berbasikal bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga benua Asia," katanya.

Pada pertandingan di Manama, Bahrain pada Mac lalu, Amarjit selaku wakil Malaysia melakar kejayaan sensasi apabila memenangi dua pertandingan jawatan anggota pengurusan eksekutif ACC dan calon anggota pengurusan eksekutif UCI pada Pilihanraya ACC 2017.

Beliau yang juga Naib Presiden MNCF turut melakukan kejutan apabila turut dilantik sebagai Bendahari ACC pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC di Manama.

-- BERNAMA