Thu12142017

LAST_UPDATEWed, 13 Dec 2017 11pm

Tiada Lagi Kelonggaran Pada Pusat Tahfiz Swasta

Datuk Seri Johari Abdul Ghani.Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

BANGKOK – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani  yang berada di Bangkok atas urusan rasmi ketika berlaku tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah awal pagi tadi dan bertindak membatalkan program rasminya serta pulang ke tanah air.

Anggota Parlimen Titiwangsa ini yang mengetuai lawatan tiga hari Kuala Lumpur Business Club (KLBC) ke Thailand selama tiga hari mulai semalam mahu pusat tahfiz kendalian pihak swasta tidak lagi diberikan kelonggaran dalam soal keselamatan bangunan mereka.

“Saya akan minta senarai semua pusat tahfiz dan melawat setiap pusat itu di kawasan Parlimen Titiwangsa. Saya hendak cakap tiada lagi kelonggaran dalam soal keselamatan bangunan. Kalau mereka hendak buat pusat tahfiz, mereka kena patuhi semua ciri-ciri keselamatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang melahiran kesedihannya terhadap tragedi itu berkata apa yang terjadi ketika ini ialah pusat-pusat tahfiz swasta gagal mematuhi ciri keselamatan seperti menyediakan pelbagai laluan keluar sekiranya berlaku kebakaran.

Beliau diminta mengulas kejadian kebakaran pusat itu di Jalan Keramat Hujung di Ibu negara awal pagi tadi yang mengorbankan 21 pelajar serta dua orang warden.

Pusat tahfiz itu berada dalam kawasan Parlimen Titiwangsa.

Johari juga berkata pihak berkuasa tidak dimaklumkan oleh penaja pusat tahfiz swasta tentang rancangan pembinaan atau pengubahsuaian bangunan mereka bagi membolehkan kerja-kerja pemantauan dijalankan.

“Kita hanya tahu apabila bangunan pusat tahfiz itu sudah siap dibina,” katanya dan menambah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pihak Berkuasa Tempatan juga tidak mempunyai maklumat tentang kewujudan pusat tahfiz sebegini. 

Apabila berlaku tragedi seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semua pihak daripada bomba, PBT dan kerajaan akan terpalit sama serta dipersalahkan oleh orang ramai, katanya.

Menurutnya beliau akan bertemu dengan semua keluarga mangsa secepat mungkin dan menyampaikan bantuan kepada setiap daripada mereka.

-- BERNAMA