Wed11222017

LAST_UPDATEWed, 22 Nov 2017 1pm

Isu Pelajar Ceroboh Landasan Diambil Serius

KAMPAR - Kerajaan negeri memandang serius tindakan pelajar sekolah menceroboh kawasan landasan kereta api di Malim Nawar untuk melintas ke sekolah berdekatan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata,  pihaknya akan berbincang dengan pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM)  Berhad untuk melihat sebarang kelemahan aspek keselamatan seperti memastikan pagar dalam keadaan sempurna dan pintu pagar ditutup.

Menurutnya, perbincangan juga akan dilakukan dengan pihak polis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat untuk memastikan tiada pelajar mahupun orang awam melintas landasan tersebut.

"Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana kita semua tahu tindakan itu berbahaya.

"Jadi kita akan minta pihak polis dan JKKK membuat rondaan supaya tiada lagi pelajar mahupun orang melintas," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Tablet Kepada Guru Daerah Kinta Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar,  di sini  hari ini.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian hari ini mengenai tindakan bahaya pelajar sekolah melintas landasan berdekatan pekan Malim Nawar.

- Sinar Online