Fri09222017

LAST_UPDATEFri, 22 Sep 2017 4pm

Pusat Tahfiz Seluruh Negara Akan Di Kenal Pasti

BATU CAVES - Pegawai Mara di setiap daerah seluruh negara diminta turun padang bagi mengenal pasti pusat tahfiz yang berada dalam daerah mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu bagi membolehkan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik dilakukan di kesemua pusat itu.

"Sekiranya pegawai saya berasakan pendawaian perlu dilakukan, kami akan buat sistem pendawaian elektrik baharu kepada pusat itu secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pertukaran MOA antara GiatMara dan Kawasaki Motors (Malaysia) di Giat Mara Batu, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kementerian melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) mempunyai program melakukan kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian elektrik yang dinamakan sebagai Prevantive Maintance Electric Programme (Program Pencegahan dan Pengekalan Sistem Elektrik).

Katanya, program tersebut ketika ini hanya memfokuskan kepada pemeriksaan sistem pendawaian di rumah orang awam di kawasan kampung, dengan peruntukan RM3 juta.

"Selepas ini, saya akan bincang dengan pegawai saya untuk memperluaskan program ini kepada pusat awam seperti pusat tahfiz dan rumah anak yatim, yang mana sistem pendawaian perlu diteliti secara rapi.

"Bagaimanapun, kami perlu mendapatkan senarai pusat tahfiz di seluruh negara dahulu kerana saya difahamkan, tidak semua pusat tahfiz berdaftar dengan kementerian berkaitan," katanya.

- Sinar Online