Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 9pm

Sila Lebih Sensitif Dan Tolong Jangan Sebar Gambar Mangsa Kebakaran

Foto: TwitterFoto: Twitter

Kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, awal pagi Khamis menarik perhatian seluruh masyarakat, malah ada segelintir daripada mereka yang tidak bertanggungjawab dengan cepat menyebarkan gambar dan video mangsa insiden tersebut.

Susulan tindakan tidak wajar menyebarkan gambar mangsa yang dalam keadaan menyayat hati, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi status yang dikemaskini di laman Twitter mengecam perbuatan tersebut.

JBPM menggesa orang ramai supaya menghentikan segera sebarang penyebaran rakaman dan gambar mangsa yang terkorban dalam kebakaran itu.

Malah, perbuatan itu turut mendapat perhatian Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim yang tampil menasihatkan orang ramai agar menghentikan penyebaran gambar mayat mangsa yang rentung dalam kebakaran.

Menurutnya, gambar-gambar mangsa kebakaran kini rancak disebarkan di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

“Jaga hati keluarga mangsa. Apa perasaan kita jika mangsa itu anak-anak kita.. Sanggup kita share (kongsi)? Kalau tak sanggup, jangan share.

“Tanda iman seseorang adalah mahu kegembiraan untuk orang lain seperti apa yang kita dapat dan tak mahu kesedihan untuk orang lain sama seperti kesedihan yang kita dapat,” demikian tulis Ustaz Abdullah dalam catatan di laman Facebook, hari ini.

Beliau menggesa supaya orang ramai yang sudah berkongsi rakaman atau gambar mangsa supaya memadamnya.

Sementara itu, Presiden Malaysian Society of Clinical Psychology, Dr Zubaidah Jamil Osman menasihati orang ramai supaya lebih sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa.

Ini kerana katanya, sebarang klip video dan gambar yang disebarkan boleh memberi kesan trauma dan menganggu emosi keluarga mangsa yang kini berdepan dengan cabaran dan detik menyukarkan.

“Saya dengan rendah hati memohon ahli group (kumpulan) tidak memforwardkan (sebarkan) video kejadian kebakaran kepada kumpulan lain.

"Pihak Psych HKL sedang menjalankan Psychological First Aid (PFA) untuk mangsa terselamat dan pihak keluarga terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini dilaporkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi  mengorbankan 22 pelajar dan dua warden.

24 mayat itu ditemui di tingkat paling atas dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidah Mohamad berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian pintu yang terletak di bahagian tengah asrama, lapor Berita Harian.

Difahamkan, punca kebakaran kemungkinan kerana berlaku litar pintas.

Sehubungan itu, kami sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya lebih sensitif dengan tidak menyebarkan sebarang gambar dan rakaman kejadian kebakaran yang menyayat hati.

- mD