Thu09212017

LAST_UPDATEThu, 21 Sep 2017 11am

Almarhum Sultan Kedah Gemar Mi Abu, Popia Jamal

ALOR SETAR - Walaupun berdarah raja, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang terkenal dengan sifat berjiwa rakyat tidak kisah makan makanan orang kebanyakan.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, antara makanan kegemaran baginda ialah Mi Abu dan Popia Jamal.

“Ketika saya jadi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) dahulu, baginda sering mencemar duli menghadiri majlis.

“Apabila seorang wakil diminta bertanya kepada baginda makanan diinginkan, baginda akan sebut makanan kegemarannya, Popia Jamal dan Mi Abu," katanya.

Menurutnya, kedua-dua makanan terkenal dalam kalangan rakyat Kedah itu sering menjadi menu pilihan baginda ketika majlis.

Beliau berkata, baginda terkenal sebagai sultan berjiwa rakyat kerana keakraban dengan rakyat jelata.

“Salah satu contoh, baginda yang merupakan antara pelajar Special Malay Class of the Sultan Abdul Hamid College (SAHC) sanggup tinggal di asrama sekolah bersama pelajar lain ketika zaman remajanya.

“Almarhum Sultan Badlishah akan hantar makanan istana kepada baginda pada hujung minggu. Baginda memilih untuk makan bersama rakannya yang terdiri daripada orang kebanyakan,” katanya.

Wan Shamsuddin berkata, kesudian baginda untuk bersama rakyat jelata menyebabkan baginda disayangi kerana kemurahan hati dan berjiwa rakyat.

Almarhum Tuanku Abdul Halim yang memerintah selama 59 tahun merupakan Sultan Kedah ke-28 selepas kemangkatan Almarhum ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah.

Berdasarkan buku Kedah dalam warisan sejarah dan budaya nusantara karya Wan Shamsuddin, baginda menaiki takhta pada tanggal 14 Julai 1958 bersamaan 26 Zulhijjah 1377 hijrah.

- Sinar Online