Thu09212017

LAST_UPDATEThu, 21 Sep 2017 11am

Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar Dibubar

KEKEJAMAN junta Myanmar terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya menyebabkan Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar dibubarkan sebagai protes sikap tidak berperikemanusiaan kerajaan itu.

Pemangku Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-Myanmar, Datuk Mustapha Yaakob berkata, persatuan yang ditubuhkan kira-kira 23 tahun lalu akan dibubarkan segera sebagai tanda protes rakyat Malaysia kepada Kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi yang dilihat gagal menunjukkan rasa kemanusiaan dan ketamadunan bangsa manusia.

“Malah, watak kepemimpinan Aung San Suu Kyi jelas melambangkan seorang yang berpersonaliti 'bukan manusia' dan 'sudah kehilangan naluri kemanusiaan' dengan membiarkan pembunuhan jiwa kanak-kanak, wanita lemah dan orang tua yang tidak melakukan sebarang dosa kepada negara dan bangsa Myanmar. Mereka diseksa dan dibunuh hanya kerana mereka beragama Islam.  

“Persatuan berpendapat adalah tidak ada erti untuk rakyat Malaysia meneruskan persahabatan dengan negara yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi yang tidak punya perikemanusiaan dan tidak langsung peduli kepada warga dunia yang menyatakan prihatin dan bantahan terhadap tindakan ‘kebinatangan’ askar-askar Myanmar yang melanggar hak-hak kemanusiaan dan membunuh nyawa manusia dengan sesuka hati dan sewenang-wenang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Presiden Penaja Persatuan Solidariti Rakyat Malaysia-Rohingya  berkata, susulan itu satu mesyuarat agung khas pembubaran persatuan persahabatan ini akan segera dilakukan selepas notis mesyuarat khas dikeluarkan pada 6 September lalu.

Jelasnya, persatuan ini telah di asaskan oleh bekas Pemangku Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz sejak tahun 1994 dan banyak mengadakan program dalam meningkatkan hubungan sosio ekonomi antara kedua Negara.

“Bahkan ahli jawatankuasa persatuan ini sebaliknya akan menaja penubuhan satu Persatuan Solidariti Rakyat Malaysia-Rohingya yang akan membantu mempertahankan hak-hak masyarakat Rohingya di Malaysia dan di Myanmar.

“Persatuan ini juga sebelum dibubarkan akan menasihatkan semua ahli yang selama ini dibantu dan digalakkan menjalankan kegiatan hubungan ekonomi dan sosial dengan rakan mereka di Myanmar supaya menggantung semua kegiatan mereka sehingga terdapat tindakan perubahan atau susulan positif kerajaan Myanmar,” tegasnya.

- Sinar Online