Thu09212017

LAST_UPDATEThu, 21 Sep 2017 11am

Ada CCTV Tapi Tak Berfungsi?

JOHOR BAHRU - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam Iskandar Malaysia oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) dilaporkan kini tidak lagi berfungsi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan kegagalan 168 CCTV  yang dihubungkan secara langsung ke bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri untuk berfungsi dengan baik yang dikesan sejak setahun lalu.

“Pemasangan CCTV itu dimasukkan dalam Pelan Induk Keselamatan dan Perlindungan Iskandar sejak Mei 2009 oleh Irda.

“Namun CCTV ini hanya berfungsi pada awal pemasangannya namun akibat tiada penyelenggaraan dilakukan menyebabkan peralatan itu kini tidak lagi berfungsi,” katanya semasa lawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini, baru-baru ini.

Katanya,  CCTV yang dipasang di kawasan tumpuan awam termasuk di laluan utama dalam kawasan pembangunan Iskandar Puteri bertujuan mencegah jenayah dan kawalan trafik (kemalangan) tidak lagi mencapai matlamat pemasangannya.

“Ia satu pembaziran meskipun tujuan asal pemasangan CCTV ini merupakan usaha yang baik kini ia tidak lagi membantu seperti  sepatutnya.

“Ia berkait dengan pelaksanaan penyelenggaraan. Soalnya bajet telah diberikan kepada Irda, mengapa CCTV ini tidak boleh digunakan?," katanya.

Mengikut rekod, 1,500 CCTV dipasang Irda pada 2013 dalam Iskandar Malaysia yang merupakan sebahagian lapan strategi bersepadu yang telah digariskan merangkumi 46 program untuk kawasan pembangunan itu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata pelaksanaan langkah terbabit adalah usaha mengawal jenayah seperti diamalkan di negara maju.

- Sinar Online