Thu09212017

LAST_UPDATEThu, 21 Sep 2017 11am

Takut Ah Long Datang Ke Rumah

PONTIAN - Seorang ibu bersama tiga anaknya dari Taman Perpaduan di sini, hidup dalam kebimbangan apabila sering diganggu sekumpulan ah long yang mendakwa suaminya membuat pinjaman mencecah ratusan ribu ringgit.

Wanita berusia 30-an itu yang mahu dikenali sebagai Lim berkata, keadaan bertambah rumit apabila suaminya tidak dapat dihubungi sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, dia buntu memikirkan cara untuk membayar hutang suaminya memandangkan tiada sebarang simpanan mahupun harta yang boleh dijual.

“Gaji saya bekerja sebagai pembantu restoran tak seberapa. Cukuplah untuk saya bayar sewa rumah, makan minum dan perbelanjaan persekolahan tiga anak berusia 11, 13 serta 18 tahun.

“Saya amat takut bila ah long datang ke rumah. Pada 8 September lalu, beberapa lelaki menaiki sebuah kereta datang ke rumah panggil saya. Saya tak keluar rumah sebab takut,” katanya.

Lim yang hadir ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Pekan Nanas DAP, di Jalan Bakek Pontian di sini turut menunjukkan laporan polis yang telah dibuat.

Tambahnya, dia bimbang mengenai keselamatan anak-anaknya yang masih bersekolah dan tinggal bersamanya.

“Saya tak tahu ke mana suami saya pergi. Dah puas saya hubunginya tapi masih gagal dapat sebarang jawapan,” katanya.

Sementara itu, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, Lim masih lagi diganggu dengan mesej yang memintanya membayar hutang dengan segera.

Katanya, mesej yang diterima daripada nombor tidak dikenali itu membuatkan Lim menjadi cemas dan hidup dalam ketakutan.

“Pada masa sama, saya juga akan bantu Lim dan keluarganya. Sekiranya masih terima ancaman saya akan minta polis lakukan siasatan,” katanya.

- Sinar Online