Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Mahu Kilang Lebur Bateri Ditutup

SEGAMAT - Pusat Aduan Rakyat (PAR) Parlimen Segamat mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak pihak berkuasa agar menutup operasi kilang melebur bateri berhampiran Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, kelmarin.

Penyelia PAR Parlimen Segamat, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, bantahan itu dibuat kerana kilang tersebut menimbulkan pelbagai masalah kerana terletak di tepi jalan utama Johor Bahru-Seremban dan berhampiran kawasan rumah penduduk.

“Beberapa laporan polis dan bantahan daripada penduduk sekitar telah dibuat dan arahan agar kilang ini menghentikan operasi juga telah dilakukan, namun pemilik kilang tersebut masih beroperasi secara haram seperti yang didakwa oleh penduduk setempat

“Malah, Pegawai Daerah Segamat sebelum ini telah memaklumkan kepada penduduk bahawa kilang tersebut yang beroperasi secara haram akan dipotong bekalan elektrik mereka dalam tempoh seminggu daripada tarikh pertemuan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, namun sehingga kini bekalan elektrik yang disalurkan ke kilang tersebut masih berterusan selain penduduk mendakwa kilang ini akan melakukan pembakaran bateri yang mengandungi bahan kimia pada waktu malam.

Katanya, penduduk setempat terutamanya mereka yang tinggal di Taman Suria dan Taman Mawar juga telah mula hilang sabar dengan keadaan ini dan mahu kilang haram ini ditutup operasinya serta-merta.

“Bayangkan setiap hari penduduk terpaksa menghidu bau busuk hasil proses peleburan bateri dan keadaan akan menjadi lebih buruk apabila musim hujan dan angin bertiup kencang kerana bau merebak ke seluruh kawasan perumahan.

“Selain itu, kita tidak mahu keadaan bertambah teruk sehingga melibatkan kematian akibat menghidu bahan kimia ini dan saya berjanji isu akan terus diberikan keutamaan dan diuar-uarkan di dalam media,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, yang ingin dikenali sebagai Shamsuddin, 44, berkata, pencemaran bau yang berlaku perlu diatasi segera kerana keadaan itu menjejaskan kesihatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.

Katanya, akibat bau busuk yang meloyakan itu, dia dan keluarganya mengakui berasa amat tidak selesa dan sering mengalami sesak nafas selain terpaksa menutup tingkap rumahnya apabila kilang tersebut melakukan pembakaran.

“Meskipun duduk di rumah yang selesa, namun bau busuk itu amat tidak menyenangkan kami sekeluarga dan saya malu apabila ada tetamu datang," katanya.

- Sinar Online