Thu08172017

LAST_UPDATEWed, 16 Aug 2017 11pm

Rabies: 95 Gigitan Terbaharu Dilaporkan

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaporkan sebanyak 95 kes gigitan terbaharu dilaporkan pada hari ini iaitu 27 kes berlaku di Bahagian Serian, tiga di Sri Aman, 64 di Kuching dan satu kes di Samarahan.

Katanya, daripada jumlah tersebut 82 kes melibatkan haiwan peliharaan, iaitu anjing 57 kes dan kucing 25 kes, manakala 13 kes melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu, anjing lima kes, kucing tujuh kes dan kelawar satu kes.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April 2017 hingga ke hari ini adalah berjumlah 2,202 kes dan secara kumulatifnya seramai 911 orang telah menerima suntikan vaksin anti-rabies, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dalam kenyataannya menyebut pihaknya mengadakan program pemvaksinan di Kampung Taie, Serian hari ini dan setakat jam 3 petang sebanyak 98 ekor anjing telah divaksin.

Katanya, secara kumulatif sebanyak 30,305 ekor haiwan kesayangan yang terdiri dari 22,663 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin.

JPVS juga mengingatkan kepada semua pihak untuk mengelak haiwan kesayangan sama ada yang telah atau belum divaksin daripada bercampur dengan haiwan terbiar.

Wabak rabies di Sarawak setakat ini telah meragut lima nyawa sementara seorang lagi mangsa sedang tenat di Hospital Umum Sarawak.

- Bernama