Sat10212017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Perjuangan Tulen Tentukan Hala Tuju Parti - Najib

AYER KEROH: Datuk Seri Najib Razak meminta ahli UMNO supaya terus berjuang dengan berkhidmat untuk rakyat walaupun tiada jawatan dalam parti.

Presiden UMNO itu berkata, ini kerana sejarah beberapa pemimpin terdahulu sudah membuktikan perjuangan untuk parti dan rakyat adalah lebih penting, berbanding jawatan.

"Keadaan itu sekali gus menunjukkan kekuatan parti adalah bergantung kepada hala tuju dan roh perjuangan yang tulen serta ikhlas, berbanding parti pembangkang yang tiada matlamat perjuangan seperti kita.

"Kalau semata-mata nak balas dendam kesumat dan soal peribadi, perjuangan itu tidak akan bertahan lama kerana (perjuangan) nafsu dendam semata-mata mahu menolak seseorang (pemimpin), tidak boleh mengatasi perjuangan suci murni yang dibawa oleh UMNO sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan sumbangan RM3 juta kepada UMNO Bahagian Bukit Katil bagi menjalankan program kemasyarakatan dan kebajikan di kawasan terbabit.

Turut dilancarkan, buletin Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Katil.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam; Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Perdana Menteri berkata, perubahan yang dikecapi negara selama ini adalah jasa daripada UMNO, di samping keringat pejuang parti itu membela rakyat.

"Ini dah untung jadi Perdana Menteri, tiba-tiba nak hancurkan parti yang banyak berjasa.

"Tindakan tidak rasional itu kita tak boleh sokong kerana ini (UMNO) satu-satunya institusi politik yang boleh kita bergantung harap," katanya.

Najib turut meminta rakyat negara ini, khususnya orang Melayu membayangkan jika negara tanpa UMNO.

"Cuba pejamkan mata seketika, bayangkan Malaysia tanpa UMNO dan Melayu tanpa UMNO, maka terbangsatlah bangsa kita. Oleh itu kita tidak akan benarkan UMNO berkubur di bumi tercinta ini," katanya.

- Berita Harian