Thu08242017

LAST_UPDATEThu, 24 Aug 2017 9am

Jangan Politik Isu Tadika

SUBANG - Pengurusan Tadika Kemas kelolaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 kesal dengan ‘tangan-tangan nakal’ yang bertindak memotong wayar elektrik yang disambungkan ke meter tadika berkenaan.

Pengerusinya, Abu Shahib Mohd Suki berkata, perkara itu disedari ketika kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat kerja-kerja mengambil gambar dan hal berkaitan kemudahan itu di tingkat satu blok C ini.

“Saya kesal dengan tindakan pihak tertentu yang masih tidak berpuas hati dengan kewujudan tadika ini dan mengambil jalan pintas untuk sabotaj bekalan elektrik.

 

“Sedangkan tadika ini diwujudkan untuk kepentingan penduduk di sini bagi mendapatkan pendidikan di peringkat awal untuk anak-anak. Kita dah buat laporan di Balai Polis Ara Damansara untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam pada itu, Abu Shahib turut meluahkan rasa kecewa dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sehingga kini didakwa gagal memberikan kelulusan merancang kepada tadika berkenaan.

“Sudah banyak kali permohonan diajukan kepada majlis, namun jawapan yang diterima tetap mengecewakan sejak tahun lalu. Mereka turut memberikan kita notis pada tahun lepas, sebaik kerja-kerja pembinaan selesai di tadika itu,” katanya.

Ketika mengulas dakwaan MBPJ memberi notis lagi kepada mereka pada Julai lalu, beliau menafikan perkara tersebut.

“Saya dah periksa, kita memang tak terima sebarang notis pada bulan lepas (Julai)...tapi tahun lepas (2016) memang ada.

“Tadika ini juga dah diluluskan kementerian pada 1 Jun lalu oleh Kemas Daerah Petaling, jadi tidak timbul isu berkenaan tadika ini beroperasi secara haram,” katanya.

Kelmarin, MBPJ mengesahkan tadika yang diasaskan Pejabat Pengurusan KPKT di Blok C, PPR Lembah Subang 1 itu tidak memiliki kebenaran merancang.

Pengarah Komunikasi Korporat MBPJ, Haniza Abdul Hamid berkata, Jabatan Kawalan Bangunan MBPJ juga sudah memberi notis pemberitahuan kepada pengurusan tadika berkenaan pada Julai lalu, sebelum mengambil langkah seterusnya.

Sementara itu, beberapa penduduk di PPR itu meminta pihak kerajaan negeri dan persekutuan menghentikan tindakan mereka mempolitikkan pelbagai isu di PPR berkenaan.

Azizah Ismail, 62, berkata, bila kedua-duanya bertelagah, penduduk yang menjadi mangsa.

“Hentikan perbalahan dan tumpukan aspek kebajikan penduduk. Bagi saya, tadika ini satu keperluan kepada penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hayati Harun, 39, mengakui, isu tadika di Blok C itu harus diselesaikan.

“Saya harap kewujudan tadika di Blok C juga dapat memberi manfaat yang sama kepada penduduk di sini. Kerajaan pusat dan negeri harus melihat kepentingan itu kepada masa depan penduduk,” katanya.

-Sinar Harian