Thu08172017

LAST_UPDATEWed, 16 Aug 2017 11pm

Exco Pulau Pinang Direman Lima Hari

GEORGETOWN – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu sebuah kilang haram memproses abu kayu di Kampung Sungai Lembu, Permatang Pauh, semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Ameera Mastura Khamis bermula semalam.

Dua lagi individu adalah pengurus dan pengarah kilang haram tersebut turut ditahan reman bagi membantu siasatan. 

Masing-masing tiba di pekarangan Mahkamah Georgetown kira-kira jam 10.13 pagi dengan menaiki tiga kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan.

Ketibaan Adun Sungai Payu itu yang berpakaian lokap SPRM berwarna oren serta bergari turut disambut sekumpulan penyokongnya yang berhimpun di pekarangan mahkamah seawal jam 9.30 pagi.

Terdahulu, Boon Poh ditahan SPRM selepas beri keterangan isu sebuah kilang haram di Sungai Lembu, Permatang Pauh kira-kira jam 3 petang, pada Jumaat.

SPRM turut merampas dokumen dipercayai ada kaitan dengan kilang tersebut di pejabat Boon Poh di Komtar dan rumahnya di Sungai Puyu, kelmarin.

Penahanan wakil rakyat DAP itu dibuat selepas SPRM menyerbu kilang haram itu dan mengambil beberapa dokumen berkaitan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada Khamis lalu.

Boon Poh diwakili dua peguam, R.S.N Rayer dan Ram Karpal Singh. Sementara pengarah dan pengurus kilang tersebut pula diwakili peguam, Dev Kumaraendran.

Rayer ketika ditemui di kompleks mahkamah mempertikai penahanan itu dan akan merujuk kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dengan segera.

-Sinar Harian