Sun10222017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Kim Swee Ajak Penonton Banjiri Stadium Shah Alam

Foto: Berita HarianFoto: Berita HarianSHAH ALAM: Skuad bola sepak lelaki Bawah 22 (B-22) kebangsaan menagih sokongan padu rakyat Malaysia dalam melaksanakan misi merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan A akan menentang Brunei Isnin ini, diikuti Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) sebelum menutup kempen saingan kumpulan berdepan Laos (23 Ogos).

Semua perlawanan melibatkan Malaysia di peringkat kumpulan diadakan di Stadium Shah Alam.

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata sokongan penonton, yang diibaratkan sebagai pemain ke-12 itu, mampu menjadi faktor kepada kejayaan skuad ‘Harimau Malaya’.

“Semua orang mahukan keputusan yang baik oleh sebab itu saya menyeru seluruh peminat untuk sama-sama turun memenuhkan stadium memberikan sokongan bermula dari aksi pertama menentang Brunei Isnin ini.

“Dengan adanya sokongan padu daripada mereka, ia akan memberikan motivasi kepada para pemain untuk bermain bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang media pengumuman senarai akhir 20 pemain ke KL2017 di sini, hari ini.

Sebelas negara akan merebut ibu segala pingat temasya dwitahunan paling berprestij di rantau Asia Tenggara itu dengan hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke pusingan separuh akhir.

Saingan kumpulan B pula yang dilabelkan sebagai kumpulan ‘maut’ mengumpulkan juara bertahan, Thailand, finalis edisi 2013 Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Timor Leste.

-BERNAMA