Thu08242017

LAST_UPDATEThu, 24 Aug 2017 9am

BITSLP Anggota ATM Di Pos Baharu Op Pasir Diluluskan

SANDAKAN, 12 Ogos -- Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Tugas Stesen Luar Pantai (BITSLP) untuk anggota tentera yang bertugas di 22 pos baharu Op Pasir di pantai timur Sabah berkuat kuasa bulan ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata seramai 1,200 anggota tentera yang bertugas di pos berkenaan akan menerima insentif tambahan sebanyak RM1,400 sepanjang tiga bulan penugasan mereka di sana.

Katanya pelaksanaan itu susulan permohonan yang dibuat oleh kementeriannya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi mempertimbangkan anggota tentera yang bertugas di pos baharu tersebut diberi kelayakan menerima insentif itu.

“Hasil keprihatinan kerajaan, pembayaran insentif ini telah diluluskan dan akan mula dilaksanakan bermula bulan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Libaran di sini, hari ini.

Justeru, katanya, bermula bulan ini anggota tentera yang ditugaskan di 22 pos baharu itu bakal menerima BITSLP dengan kadar RM16 sehari.

Katanya sebelum ini, anggota tentera yang bertugas di pos kawalan itu tidak layak menerima insentif berkenaan kerana pos-pos itu belum diwartakan.

Menurutnya, BITSLP sebelum ini telah diberikan kepada anggota tentera yang bertugas di 28 pos Op Pasir sedia ada di pantai timur Sabah, lima pos Stesen Luar Pantai di Kepulauan Spratly Laut China Selatan dan dua pos Op Pejarak di Pulau Perak dan Pulau Jarak di Selat Melaka.

Hishammuddin berkata pembayaran insentif ini merupakan sebahagian daripada usaha terbaru kerajaan untuk membantu membela nasib dan memelihara kebajikan anggota tentera.

Beliau berharap agar bayaran insentif ini berupaya meningkatkan lagi semangat juang dan iltizam mereka dalam usaha mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air.

-- BERNAMA​​​​​​​