Sun08202017

LAST_UPDATESun, 20 Aug 2017 10am

[VIDEO] Dahulu Buta Huruf, Anak Kedah Ini Berjaya Hasilkan Ciptaan Hingga Kalahkan Universiti Antarabangsa

Mohd Lutfi Bin Suhaimi bukanlah pelajar pintar di sekolah, malah kebolehannya  membaca diperoleh pada usia 11 tahun di darjah lima dan ketika di sekolah  menengah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beliau sekadar 'cukup makan'.

Seorang yang cekal dan berdikari, Lutfi banyak menghabiskan usia mudanya bekerja sebagai tukang besi di bengkel bapanya dan berkebolehan dalam bidang elektrik dan elektronik.

Walaubagaimanapun, Lutfi tetap menyimpan hasrat untuk ke menara gading sehingga  pada suatu hari beliau ditawarkan menyambung pelajaran di Universiti Teknologi  MARA (UiTM) Arau dalam Kejuruteraan Awam, namun terpaksa menolaknya.

Kata Lutfi, beliau menolak tawaran berkenaan ekoran terpaksa membantu bapanya di bengkel lalu memilih untuk menimba ilmu di Politeknik Sultan Abdul Halim  Mu'adzam Shah, Jitra ekoran jarak lebih dekat dengan rumah dan bengkel bapanya.

Berulang-alik selama 50 kilometer selama 3 tahun, Lutfi cemerlang dan menamatkan pengajiannya dengan keputusan CGPA 3.47.

Perubahan mendadak Lutfi bermula selepas beliau menyambung pelajaran ke  peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tun Hussein  Onn (UTHM) dengan biasiswa penuh.

Di sinilah Lutfi menempa nama dan mengharumkan nama negara pada tahun akhir  pengajiannya di universiti berkenaan.

Lutfi bersama ahli kumpulannya mencipta Self-lifted Stand For Motorcycle Safety  (SMARTS), iaitu tongkat automatik bagi motosikal yang dapat mengelakkan  kemalangan akibat terlupa mengangkat tongkat motosikal.

Ciptaan pasukannya merangkul pingat emas dalam pertandingan rekacipta MyInovasi  2014 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi mengalahkan 1,249 kumpulan lain  daripada pusat pengajian awam dan swasta seluruh negara.

Perjalanannya menempa kejayaan tidak mudah. Perbelanjaan tinggi untuk  menghasilkan rekaan tersebut memaksa Lutfi bekerja separuh masa di Australia  sebagai pengutip buah untuk mengumpul dana.

Kejayaan Lutfi diperingkat zon membawa ke peringkat kebangsaan mengalahkan 49  pesaing lain dan dinobatkan juara keseluruhan dengan membawa pulang wang tunai  RM50,000.

SMARTS turut dipertandingkan di International Invention Fair 2015 di Seoul,  Korea Selatan dan seperti diduga, rekaan Lutfi dan rakan-rakannya mendapat  pingat emas.

Pencapaian yang memberangsangkan ini patut menjadi kebanggaan seluruh rakyat  Malaysia.

Siapa sangka sorang kanak-kanak yang dahulunya tidak tahu membaca dan dilihat  seperti tidak mempunyai masa depan dalam bidang pelajaran, telah menjadi wakil  seluruh pelajar di Malaysia dan berjaya mengharumkan nama Malaysia.

- mD