Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 1pm

Saman PAS Vs Sarawak Report: Tiada Bukti Najib Korup, Kata Mahkamah London

Sewaktu prosiding saman PAS terhadap Clare Rewcastle Brown di London, mahkamah  mendapati tiada bukti untuk menyokong dakwaan pengendali blog Sarawak Report itu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar rasuah RM90 juta  kepada parti teraju Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahkamah juga menolak hujah Clare meminta Hadi mendepositkan wang RM4.5 juta  (£800,000) sebagai jaminan untuk membayar kos guaman sekiranya PAS kalah didalam prosiding saman berkenaan.

Ekoran itu, mahkamah bersetuju dengan peruntukan deposit keselamatan RM80,000  oleh Presiden PAS diatas dasar Clare gagal menunjukkan bukti bahawa badan  kehakiman, kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan Abdul Hadi.

“Mahkamah London juga mendapati tuduhan serius itu tidak disokong bukti oleh  Clare walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian,"  kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Mahkamah juga tidak menerima hujah Clare tanpa membawa bukti bahawa sebuah  negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik baik dengan United  Kingdom telah mengamalkan rasuah."

Sehubungan itu kata Ahmad Samsuri, Clare diarahkan membayar dua pertiga daripada kos guaman Abdul Hadi iaitu £15,000 (RM84,000).

“Mahkamah London juga mengarahkan Clare untuk membuat pembelaan beliau dalam  tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan  untuk berdolak dalih. Permohonan rayuan Clare terhadap keputusan itu juga telah  tidak dbenarkan oleh Mahkamah London,” katanya.

Presiden PAS diwakili oleh peguam dari firma Carter Ruck dan Barrster Jacob  Dewan.

Ahmad Samsuri melihat keputusan mahkamah sebagai perkembangan positif untuk  membersihkan nama Presiden PAS daripada fitnah Sarawak Report.

"Presiden PAS juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat  Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan  Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia oleh Clare dalam dokumen beliau yang  dikemukakan ke mahkamah,” tulis Ahmad Samsuri didalam satu kenyataan.

Sarawak Report yang dikendalikan oleh Clare sebelum ini menerbitkan artikel  menuduh PAS menerima rasuah RM90 juta daripada Najib.

Ironinya atrikel itu diterbitkan sejurus PAS menolak pelawaan DAP dan Parti  Keadilan Rakyat (PKR) untuk bekerjasama.

Tuduhan Sarawak Report itu kemudian dicanang oleh pemimpin dan penyokong PKR,  DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) di media sosial bagi memburuk-burukkan PAS  dan Najib.

- mD