Wed07262017

LAST_UPDATEWed, 26 Jul 2017 12am

Ops Hari Raya Aidilfitri Tumpu Dua Kesalahan

SHAH ALAM - Penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan kegagalan memakai tali pinggang keledar, antara punca yang menyumbang kepada kemalangan maut di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, disebabkan itu kedua-dua kesalahan tersebut diberi tumpuan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula 18 Jun hingga 2 Julai lalu.

"Melaluinya, kita dapat kesan dua kesalahan itu yang banyak dilakukan pemandu kenderaan, jadi 24 notis dikeluarkan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan itu.

"JPJ memandang berat kesalahan berkenaan kerana ia antara 23 kesalahan lalu lintas dalam sistem mata demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang dilaksanakan JPJ secara berperingkat, berkuat kuasa 15 April lalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Aidilfitri JPJ Selangor di Padang Jawa di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Ops tersebut, JPJ Selangor juga mengeluarkan 1,327 saman serta 993 notis kepada pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan.

"Kita juga memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan seperti bas dengan memeriksa 722 bas di tiga terminal iaitu Klang Sentral, Terminal Shah Alam dan Jalan Reko.

"Daripada jumlah itu, empat kesalahan dikesan manakala dua daripadanya dikenakan tindakan," katanya.

Nazli berkata, pada masa sama, ujian saringan air kencing turut dilakukan terhadap pemandu bas.

"Seramai 166 pemandu yang menjalani ujian saringan itu, dua daripadanya didapati positif dadah jenis Syabu. Pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40an itu ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa terlibat untuk tindakan lanjut," katanya.

-Sinar Harian