Fri07212017

LAST_UPDATEThu, 20 Jul 2017 10pm

SSM Ddiktiraf Malaysia Book Of Records

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai agensi kerajaan pertama melaksanakan perkhidmatan Digital Certified True Copy (CTC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pembangunan Digital CTC yang dilaksanakan SSM itu selaras dengan objektif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Kami merasa bangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records dengan kejayaan SSM ini,” katanya selepas mengumumkan pengiktirafan itu pada majlis sambutan hari raya SSM di sini, hari ini.

Digital CTC merupakan transformasi perkhidmatan pengesahan dokumen secara manual kepada digital melalui gabungan teknologi pengimejan dokumen berkanun, tandatangan digital, date time stamping dan Quick Response Code (QR code) dengan ciri-ciri keselamatan.

SSM menawarkan produk Digital CTC kepada pelanggan bagi salinan imej dokumen yang diserah simpan pelanggan dengan kerjasama Big Dataworks Sdn Bhd iaitu penyedia perkhidmatan SSM dan Post Digicert Sdn Bhd, pihak berkuasa pemerakuan berlesen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Akta Tandatangan Digital 1997.

Kerjasama itu merupakan satu transformasi kepada negara melalui cara kreatif dan sistematik dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos rendah.

Selain memastikan kesahihan dokumen yang dikeluarkan SSM, Digital CTC juga mengelakkan pemalsuan dokumen oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

- Bernama