Fri11242017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 11pm

MRT Permulaan Lebih Banyak Projek Infra Rakyat

KUALA LUMPUR - Perasmian Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) hari ini merupakan titik permulaan kepada lebih banyak projek infra rakyat selepas ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bagi memastikan kerajaan mencapai objektif menjadikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur bersepadu sepenuhnya.

"Ini merupakan titik permulaan sahaja kepada lebih banyak projek akan datang termasuk MRT kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT3 Bandar Utama-Johan Setia; kereta api ke Pantai Timur; Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura; serta menaik taraf sistem monorel dan KTM. Ini semua insya-ALLAH akan dilaksanakan kerajaan.

"Apabila MRT 3 atau circle line siap nanti, menjelang 2027 kita akan dapat saksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita. Berdasarkan track record kerajaan, kita akan dapat memenuhi objektif ini," katanya ketika berucap di majlis perasmian MRT Laluan SBK di Stesen Tun Razak Exchange (TRX), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; menteri-menteri Kabinet; Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

MRT fasa kedua laluan SBK antara Kajang dan Muzium Negara melibatkan 19 stesen dan mula beroperasi jam 4 petang semalam.

Manakala, fasa pertama laluan berkenaan antara Sungai Buloh dan Semantan yang mempunyai 12 stesen telah beroperasi pada 16 Disember tahun lalu.

Menurut Najib, kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan sebuah sistem pengangkutan yang moden, efisien, boleh diharap dan mampu digunakan orang ramai.

Bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan itu, maka katanya, pembinaan MRT perlu direalisasikan.

"Kita sedar apabila lihat pengalaman di ibu kota lain termasuk di rantau ini, pengguna terpaksa habiskan masa lapan hingga 10 jam kerana keadaan lalu lintas yang terlalu sesak.

"Sebelum keadaan itu terjadi di Kuala Lumpur, maka kita perlu ambil langkah awal untuk elakkannya kerana tanda-tandanya sudah mula dirasai lebih-lebih lagi apabila hujan," katanya.

Dalam pada itu, Najib berpuas hati apabila projek MRT laluan SBK berjaya disiapkan dua minggu lebih awal dengan penjimatan kos sebanyak RM2 bilion, iaitu kos sebenar RM21 bilion berbanding kos asal RM23 bilion.

Katanya lagi, ia juga melibatkan penyertaan 50 peratus syarikat Bumiputera serta 51 peratus peniaga Bumiputera di ruang perniagaan di stesen MRT.

"Apabila kita melakukan agenda Bumiputera, ia tidak menyebabkan projek ini terlambat atau mengganggu pelaksanaannya. Dengan syarat, kita beri kepada Bumiputera yang layak, jangan bagi kepada kroni," katanya.

Selain itu, beliau berkata, tenaga kerja yang terlibat dalam projek ini juga telah memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu berkaitan.

"Misalnya memasang keretapi metro bertaraf dunia, membaik pulih mesin pengorek terowong, berjaya membekalkan lampu dan kerusi untuk tren dan sebagainya.

"Saya harap ini dijadikan asas untuk kita tembusi pasaran di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, sempena meraikan hari kemerdekaan negara, Najib turut mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus bagi tambang MRT, LRT dan monorel bermula hari ini hingga 31 Ogos.

-Sinar Harian