Mon12112017

LAST_UPDATEMon, 11 Dec 2017 7pm

Empat Remaja Dituduh Bunuh T.Nhaveen

GEORGE TOWN, 19 Jun -- Empat remaja termasuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh mangsa buli T.Nhaveen pada 9 Jun lepas.

J.Ragesuthen, 18, dan S.Gokulan, 18, serta dua lagi remaja lelaki berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu secara bersama di antara 11 malam hingga 12 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor dekat sini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan semua tertuduh mengangguk tanda faham setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid menetapkan 28 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala tertuduh belum melantik peguam.

Di Mahkamah Sesyen di sini, pula semua remaja berkenaan mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan secara bersama menyebabkan kecederaan parah terhadap T.Preevin, 19, pada 9 Jun lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Semua tertuduh didakwa menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Hakim Irwan Suaibon menetapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan lantikan peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sin.

Nhaveen, 18, cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit, dekat sini, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur. Beliau meninggal dunia pada Khamis lepas setelah lima hari koma di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

Rakannya, Previin dilapor turut dipukul oleh kumpulan berkenaan menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

-- BERNAMA