Sun06242018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 8pm

Pengetua, Guru Besar Perlu Proaktif Kenal Pasti Guru Ada Tanda Kemurungan-Mahdzir Khalid

Datuk Seri Mahdzir Khalid.Datuk Seri Mahdzir Khalid.

KUALA NERANG -- Pengetua dan guru besar perlu lebih proaktif mengenal pasti guru yang mengalami tekanan atau mempunyai tanda-tanda kemurungan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya ia perlu bagi memastikan bantuan awal seperti khidmat kaunseling dapat diberi, sekali gus mengelak guru daripada bertindak agresif dan akhirnya membahayakan nyawa warga sekolah khususnya pelajar.

"Jika guru bermasalah mereka mungkin perlu dielakkan untuk sementara waktu daripada berhubung dengan pelajar dan pada masa sama diberi bantuan kaunseling," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera Parlimen Padang Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad di sini hari ini.

Mahdzir mengulas insiden seorang murid lelaki tahun dua yang cedera di kepala sehingga menerima lapan jahitan selepas terkena kerusi kayu yang dibaling guru di sebuah sekolah di Penampang, Sabah semalam.

Bagaimanapun, katanya jika pengetua atau guru besar sendiri yang menjadi punca tekanan, guru boleh membuat laporan kepada pejabat pendidikan daerah atau pengarah pendidikan negeri.

Sementara itu, Jelajah Pendidikan Bumiputera yang dilancarkan sejak 11 Mac lalu berjaya memberi peluang kedua kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran tetapi tidak mendapat tempat.

"Sehingga kini, program ini berjaya membantu lebih 50,000 bekas pelajar dan pelajar di seluruh negara yang sebelum ini gagal melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Melalui program ini, pelajar berkelayakan akan dinilai semula dan diberi tempat di universiti awam atau swasta untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma dalam bidang akademi atau kemahiran," katanya.

Siri jelajah itu akan berada di Pulau Pinang esok dan di Perak pada 26 April.

-- BERNAMA