Wed12132017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 11pm

Anwar ‘Tersepit’ PKR Sabah, Sarawak Tolak RUU 355

PKR Sabah dan Sarawak menolak Rang Undang-undang (RUU) persendirian dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Keputusan tegas itu jelas bertentangan dengan pendirian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini menyatakan pendirian bahawa usul dirujuk sebagai RUU 355 itu wajar dipersetujui semua pihak.

Ia sekali gus menggambarkan PKR bakal berdepan dengan perpecahan serius apabila pandangan daripada peneraju utama parti itu pun yang selama ini diterima tiba-tiba ditolak kepimpinan PKR sendiri di dua buah negeri tersebut.

“Kami merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin PKR yang sependapat dengan Anwar dalam ‘menghormati hak’ Presiden PAS untuk membentangkan pindaan kepada Akta 355.

“Kenyataan-kenyataan ini telah diterima secara negatif di Sabah dan Sarawak malahan telah disalah anggap oleh sesetengah antara kita sendiri bahawa kepimpinan PKR sebagai menyokong RUU 355 tersebut.

“Kami adalah bersetuju bahawa Abdul Hadi, atau sememangnya mana-mana anggota Parlimen, sebagai berhak untuk membentangkan sebarang RUU, tetapi perkara tersebut adalah setakat perjanjian kami.

“Dengan hormat, kami justeru mengambil berbeza pendirian dengan pandangan bahawa RUU itu adalah semata-mata untuk memberi penambahbaikan kepada bidang kuasa pihak mahkamah syariah.

“Kami menentang RUU 355 itu yang jelas satu cara untuk membuka jalan kepada pelaksanaan hudud, sekali gus memperkenalkan dua sistem keadilan jenayah, seperti yang dijelaskan oleh Profesor Shad Faruqi.

“Beliau pernah ada menyatakannya dalam tulisan ‘Enhancing syariah courts’ powers’, yang diterbitkan pada 9 Jun 2016 disiarkan oleh akhbar The Star,” jelas kenyataan bersama PKR di dua negeri yang disiarkan portal propembangkang.

PKR Sarawak dipimpin Baru Bian (gambar atas) manakala Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew mengetuai negeri itu setelah Datuk Seri Lajim Ukin bertindak keluar parti tersebut baru-baru ini.

Untuk rekod, Anwar dalam kenyataan media dari Penjara Sungai Buloh pada 8 April lalu berpandangan pembentangan RUU 355 sebagai berjaya dan semata-mata untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Yang ditekankan adalah pemerkasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang wajar dipersetujui secara prinsipnya oleh semua,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Komunikasi PKR.

Kenyataan Anwar itu bagaimanapun dilihat ramai pihak sekadar menyerlahkan lagi politik bermuka-muka dan hipokrit PKR yang boleh berubah nada dengan sekelip mata sekiranya kepentingan politik mereka tergugat.

Anwar dipercayai membuat kenyataan itu bagi menyelamatkan kedudukan PKR yang dikecam umat Islam kerana jelas menentang usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia.

- mynewshub.cc