Thu09212017

LAST_UPDATEThu, 21 Sep 2017 8pm

Latihan Skuad B-22 Hadapi Kelayakan Piala AFC 2018, Sukan Sea Mungkin Di China - Presiden FAM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JOHOR BAHRU -- Latihan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bagi menghadapi Kejohanan Kelayakan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) B-23 2018 dan Sukan SEA 2017, berkemungkinan diadakan di China.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagaimanapun berkata keputusan tersebut bergantung kepada faktor kewangan badan induk bola sepak kebangsaan itu.

"Belum tahu lagi...kemungkinan di China atau dalam negara sahaja kerana pada masa ini, FAM belum ada duit.

"Hendak gunakan duit untuk pergi ke mana-mana kosnya tinggi dan bajet perlu menjadi keutamaan kita tetapi semua perancangan masih diruruskan oleh jurulatih dan saya akan berbincang pada masa akan datang," kata Tunku Mahkota Johor itu.

Tunku Ismail berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama anggota gabungan FAM di sini, hari ini.

Setakat ini, 30 pemain dijangka dipanggil oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi menjalani latihan fasa pertama untuk memilih 23 pemain.

Kelayakan Piala AFC 2018 bagi skuad negara dijadual di Bangkok, Thailand pada Julai ini.

Pada masa sama, skuad muda negara itu perlu bersedia bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos depan.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail berkata masih terdapat persatuan bola sepak negeri dan kelab masih belum memberi kata putus berhubung pelepasan pemain mereka bagi menyertai latihan skuad B-22 negara.

"Ada beberapa pasukan tidak mahu melepaskan pemain mereka atas sebab dan alasan tersendiri, tetapi bagi saya, Sukan SEA tahun ini cukup unik kerana kita menjadi tuan rumah.

"Takkan kita hendak lihat pasukan bola sepak B-22 negara berada di tempat tercorot atau terkeluar daripada saingan. Jadi, saya harap semua pasukan dapat memberi sumbangan dengan melepaskan pemain yang terpilih untuk menjalani latihan," katanya.

-- BERNAMA