Sat05262018

LAST_UPDATESat, 26 May 2018 10am

KHOM - Insan Kecil Berjiwa Besar

Mungkin ramai antara kita yang belum pernah mendengar tentang Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) yang diuruskan oleh Pusat Tuisyen Akademik Karisma (Karisma) dan Kelab Alumni Karisma (KAC). Karisma yang bertempat di Jalan Temenggong, Kota Bharu ini diasaskan oleh pasangan Kapten Ariffin bin Abd Rani (Bersara), seorang bekas komando, dan isteri beliau, Nik Marina binti Datuk Hussin, pada tahun 2000 bermula dengan 20 orang pelajar.

Selain kelas tambahan akademik dan kaunseling kerjaya, Karisma bersama-sama pelajarnya yang dikenali sebagai “Karismans” dan juga bekas pelajar, turut mengendalikan projek amal dan misi kemanusiaan. Sejak tahun 2004 lagi, pihak Karisma menggalakkan pelajarnya untuk melakukan pelbagai projek dan inisiatif bagi mengutip dana yang mana hasil kutipan digunakan untuk membantu rakyat tempatan yang memerlukan manakala bantuan ke luar negara diserahkan melalui NGO tempatan seperti MERCY.

“Bapa saya banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya dan adik-beradik. Walaupun kami dibesarkan dengan cara yang agak tegas seolah-olah kami pelajar MTD, kami semua memandang tinggi terhadap beliau kerana didikan yang diberikan ternyata berbaloi,” cerita Nik Marina sambil tersenyum.

Ayahnya, Brigadier Jeneral Datuk Hussin Bin Yusoff (Bersara), 74, merupakan bekas komandan Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 1989-1993 dan juga bekas pelajar MTD pada tahun 1960-1962. Beliau yang berjiwa pendidik telah membuka Institut Latihan Cemerlang di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu sebaik sahaja bersara daripada perkhidmatan tentera. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kini, jiwa pendidik beliau diwarisi oleh Nik Marina.Kapten Ariffin bin Abd Rani (Bersara) dan isteri beliau, Nik Marina binti Datuk HussinKapten Ariffin bin Abd Rani (Bersara) dan isteri beliau, Nik Marina binti Datuk Hussin

Suami Nik Marina pula merupakan bekas komando di Unit 11 Rejimen Gerak Khas (RGK). Beliau pernah berkhidmat di Somalia di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk UNOSOM (United Nations Operation in Somalia) dan tugas terakhir beliau bersama angkatan tentera adalah sebagai pelatih komando di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK). Menurut Nik Marina, antara cabaran suaminya sebagai bekas tentera untuk menubuhkan pusat tuisyen adalah kata-kata seperti, “Askar tahu apa...”.

Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri ini. Bagi mereka, mereka bukan sahaja ingin melahirkan insan-insan yang cemerlang dalam akademik tetapi juga golongan hebat yang memiliki semangat kemanusiaan yang tinggi yang akan terus menyumbang kepada rakyat dan negara. Dalam erti kata lain, mereka ingin melahirkan wira negara. Mereka ingin melakukan seberapa banyak yang boleh walaupun bermula dengan sedikit.

Bermula dengan projek amal dan misi kemanusiaan yang dijalankan sejak tahun 2013, diteruskan dengan projek bantuan banjir pada awal tahun 2015, kini Karisma mengorak langkah yang lebih jauh dengan menghantar sendiri sukarelawan Karisma ke Syria. Mereka ialah Dr Hariz Hazwan bin Zarir, 27, dan Wan Nur Faeizah binti Wan Bunyamin, 25.

Wan Nur FaeizahWan Nur FaeizahDr Hariz merupakan bekas pelajar perubatan di Jordan University of Science and Technology. Beliau terlibat dengan projek mendirikan satu daripada beberapa sekolah untuk pelarian Syria; projek yang dinamakan “Teach for the Needs” (TFTN), dengan kerjasama Malaysian Arab Cultural Society (MACS) di Irbid, Jordan. Manakala Faeizah yang merupakan bekas penuntut di University of Yarmouk, Jordan meluangkan masa beliau mendidik 25 orang kanak-kanak jalanan yang semuanya merupakan mangsa perang. Usaha mereka menggunakan ilmu dan pengalaman yang dikutip termasuk ketika di Jordan, untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak mangsa perang, merupakan sesuatu yang sungguh mulia.

Selain Hariz dan Faeizah, ramai lagi tokoh muda Karismans yang telah dilahirkan sejak 17 tahun yang lepas. Antaranya ialah Mohamad Al Azhim bin Sukarno, 25 tahun, anak Allahyarham Pegawai Waran 1 Sukarno bin Ismail, yang pernah bertugas di Pusat Latihan Rekrut di bawah kedua-dua Brigadier Jeneral Datuk Hussin bin Yusoff (Bersara) dan Kapten Ariffin bin Abd Rani (Bersara).

Dr Hariz Hazwan Dr Hariz Hazwan

Selain seorang Karisman, Azhim yang juga merupakan bekas pelajar MTD merupakan tulang belakang kepada semua projek amal Karisma termasuk ketika bantuan banjir pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015. Azhim akan turut serta dalam setiap program amal Karisma. Beliau sering mengintai peluang untuk berbakti dan sanggup mengambil cuti semata-mata dengan harapan untuk meraih ganjaran pahala yang besar.

Saya begitu mengagumi semangat tinggi Puan Nik Marina sebagai Pengarah Misi untuk projek Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM). Walaupun mungkin dilihat sebagai seorang insan biasa yang hanya mempunyai sebuah pusat tuisyen di Kota Bharu, bukannya jutawan mahupun usahawan yang mempunyai syarikat berstatus antarabangsa yang tersenarai di Bursa Malaysia, beliau berjiwa murni dan mempunyai visi yang besar. Sumber kekuatan beliau ialah para pelajar Karisma yang kini seramai 700-800 orang setahun. Setelah 17 tahun beroperasi, kira-kira 13,627 orang pelajar sudah mendapat bimbingan Karisma.

Pelajar-pelajar, bekas pelajar, juga ibu bapa pelajar Karisma banyak membantu beliau dalam melaksanakan projek-projek jualan amal untuk mendapatkan dana bagi membolehkan misi-misi bantuan dijalankan. Terkini, KHOM memerlukan dana untuk mencapai objektif misi besar mereka untuk Syria yang akan dilancarkan pada awal April 2017.

Antara objektif utama misi ini adalah untuk menghantar sendiri bantuan makanan ke 5 kem pelarian di Irbid dan Mafraq, memberi pendidikan kepada anak-anak pelarian Syria di dua sekolah dan sebuah rumah anak yatim, memberi nasihat dan tunjuk ajar tentang penjagaan diri dan kebersihan untuk anak-anak di salah sebuah kem pelarian, serta membantu menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada mangsa perang terutamanya kanak-kanak yang pastinya trauma akibat perang.

Misi ini juga secara tidak langsung bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan anak muda Malaysia tentang tanggungjawab sosial mereka membantu sesama insan tidak kira di Malaysia atau di mana-mana sahaja. Dengan pengalaman membantu mangsa perang dan mendapat ilmu pengetahuan yang tidak diajar di bangku sekolah, mereka akan kenal erti syukur dan menghargai apa yang mereka ada termasuk keamanan yang ada di Malaysia hingga kini. Menurut Puan Nik Marina, pasukan KHOM untuk Syria ini terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu pasukan Malaysia (Karisma Malaysia Team) dan Jordan (Karisma Jordan Team).

Sejak awal Januari 2017, kumpulan alumni Karisma telah memulakan usaha mendapatkan dana untuk misi terbaharu KHOM ini. Antara yang dilakukan ialah jualan pakaian terpakai, jualan but kereta (car boot sales), jualan makanan dan minuman, dan tidak kurang juga kutipan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai. Mereka memerlukan sekitar RM120,000 untuk merealisasikan misi mulia ini dan untuk tujuan ini juga, satu akaun bank khas telah dibuka di CIMB (nombor akaun 7620869900) atas nama NIK MARINA HUSSIN sebagai Pengarah Misi.

KHOM memerlukan dana untuk mencapai objektif misi besar mereka untuk Syria yang akan dilancarkan pada awal April 2017.KHOM memerlukan dana untuk mencapai objektif misi besar mereka untuk Syria yang akan dilancarkan pada awal April 2017.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai misi kemanusiaan Karisma atau KHOM, orang ramai boleh menghubungi mereka melalui emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Laman Facebook rasmi KHOM ialah https://www.facebook.com/helpkarismakhom/ manakala laman Instagram mereka @helpkhom. Mereka juga boleh dihubungi di talian 012-9524174 (Nik Marina), 019-9442919 (Wan Nur Faeizah, Pembantu Pengarah Misi) dan 012-3666423 (Wan Nur Amirah, Setiausaha). Sebarang sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan atau keperluan lain adalah sangat dialu-alukan oleh pihak Karisma.

Dengan moto mereka “Light of Hope”, sama-sama kita hulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk dan doakan semoga misi Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) untuk pelarian Syria ini dan misi-misi mereka yang lain berjaya. Semoga Karisma terus maju, diberkati dan melahirkan lebih ramai anak bangsa yang berkaliber dan berjiwa besar.

 

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan