Wed04252018

LAST_UPDATEWed, 25 Apr 2018 4pm

Nilai Segulung Ijazah PhD

Pemalsuan dan penyalahgunaan gelaran berdasarkan kelayakan profesional mahupun akademik, seperti “Dr.”, bukanlah sesuatu yang baharu. Terdapat nama-nama yang terkenal yang telah dikaitkan dengan isu ini. Tidak kurang juga pengamal perubatan tradisional yang bukan sahaja menggunakan gelaran Dr. tetapi juga Profesor.

Berhubung dengan kes yang melibatkan seorang personaliti terkenal, Universiti berkenaan telah mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menafikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada personaliti terbabit seperti yang telah tersebar di media sosial. Penafian secara rasmi tersebut adalah penting kerana ia melibatkan integriti universiti yang merupakan antara 100 universiti terbaik dunia itu.

Mengapa begitu ramai yang teruja dan sanggup membeli ijazah palsu semata-mata untuk menggunakan gelaran Dr.?

Menurut kajian, manusia yang paling dipercayai adalah golongan doktor. Hasil kajian yang dilakukan di United Kingdom (UK) pada tahun 2011 menunjukkan kira-kira 88% penduduk dewasa dari seluruh UK lebih percayakan doktor berbanding ahli politik (14%). Begitu juga kajian yang dijalankan di Ireland pada tahun 2013, di mana 91% daripada keseluruhan responden memberi maklum balas bahawa doktor merupakan golongan yang paling dipercayai.

Kajian yang sama turut dilakukan oleh Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM). Ia melibatkan 2,074 responden tempatan dalam kalangan warga universiti dan orang awam pada tahun 2006. Kaji selidik tersebut menunjukkan golongan doktor merupakan mereka yang paling dipercayai di Malaysia dengan kadar 72%, diikuti dengan cikgu (67%) dan profesor (60%).

Sebenarnya, golongan doktor yang dimaksudkan dalam kajian-kajian di Barat tersebut adalah doktor perubatan atau pergigian, bukannya doktor falsafah. Di Barat, doktor falsafah akan menyatakan atau menulis ‘PhD’ di hujung nama mereka tanpa gelaran Dr. di depan nama. Budaya di Malaysia pula, mereka yang mempunyai ijazah PhD akan meletakkan gelaran doktor di depan nama dan oleh itu mereka juga dipanggil dengan gelaran doktor. Kesannya, mereka ini juga boleh berada dalam kalangan golongan yang paling dipercayai oleh anggota masyarakat.

Maka ramailah golongan yang ingin kaya dan terkenal berebut membeli gelaran ini agar mereka turut atau mudah dipercayai dan dihormati oleh orang ramai.

Pengajian PhD memerlukan disiplin yang tinggi di samping perlu mengorbankan begitu banyak masa dan tenaga. Ramai yang tidak mampu menyelesaikan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak kurang juga yang gagal di tengah jalan.

Penulis telah menemu bual Dr Shahida Mohd Said, Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan, Hal Ehwal Antarabangsa & Industri), Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Shahida berkelulusan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (Bachelor of Dental Surgery) dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1995. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian kepakaran dalam bidang Periodontologi pada tahun 2012 di Eastman Dental Institute, University College London (UCL). Sejurus tamat pengajian dan bergelar Pakar Periodontologi, beliau menyambung pengajian ke peringkat PhD dalam bidang farmasi di UKM.

Dr Shahida Mohd SaidDr Shahida Mohd SaidPengajian PhD merupakan cabaran yang amat besar bagi beliau. Sepanjang 4 tahun bergelar pelajar PhD, beliau perlu berkejar ke makmal walaupun pada tengah malam atau cuti umum, semata-mata untuk memastikan sel-sel yang dikaji berada dalam keadaan baik. Bacaan sel perlu diambil setiap 4 jam.

Adakalanya, sel-sel yang dikaji mati. Jika itu berlaku, ujikaji harus diulang, termasuk dalam penyediaan material dan sel. Proses dan tempoh yang perlu dilalui itu menyebabkan pengawal keselamatan pun mengenali beliau kerana kekerapannya berada di makmal tidak kira masa. Namun begitu, pengorbanan beliau berbaloi apabila kajian berkaitan bunga cengkih dan kayu manis terbukti mempunyai nilai perubatan untuk merawat penyakit berkaitan gigi dan gusi.

Dr Shahida menasihati mereka yang ingin memulakan perjalanan dalam pengajian PhD agar membiasakan diri dengan penyelidikan terlebih dahulu sebelum mendaftar. Ini akan menjimatkan masa kerana bidang penyelidikan di peringkat PhD tidak semudah yang disangka jika tidak mempunyai pengalaman dalam membuat penyelidikan, lebih-lebih lagi dalam bidang sains yang melibatkan pesakit ataupun sel hidup.

Saya juga berkesempatan menemu ramah Dr Helmi Mohd Hadi Pritam, seorang Pakar Forensik dan juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sains Forensik, Sarjana Sains dalam bidang Pengenalpastian Manusia (Human Identification), dan PhD dalam bidang Anatomi dan Pengenalpastian Manusia dari University of Dundee, Scotland, United Kingdom.

Beliau menceritakan betapa beliau banyak meluangkan masa bersama rangka manusia sama ada di dewan kuliah atau di makmal. Malah, beliau pernah ke makmal dengan berbaju Melayu dan samping selesai sahaja solat sunat Aidilfitri untuk meneruskan analisis. Begitulah kesibukan yang perlu dilaluinya dalam menjalankan penyelidikan.Bagaimanapun, beliau beruntung kerana penyelia beliau, Caroline, tetap meluangkan masa membawa pelajar-pelajar PhD seliaannya untuk percutian perkhemahan setiap tahun.Dr Helmi Mohd Hadi PritamDr Helmi Mohd Hadi Pritam

Bagi Dr Helmi, memiliki PhD merupakan satu tanggungjawab, bukan untuk dijaja merata-rata. Beliau jarang menggunakan gelaran Dr., malah hanya memperkenalkan diri sebagai pengajar. “Lagipun, jika kata Dr, nanti orang akan tanya tentang sakit dia pula, pernah berlaku sebelum ini,” katanya sambil tergelak. Menurut beliau lagi, menipu adalah haram. Maka rezeki juga tidak berkat jika menggunakan PhD palsu.

Sememangnya perjalanan untuk mendapatkan ijazah PhD bukanlah mudah; bersengkang mata siang dan malam menjalankan penyelidikan sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum dapat menyiapkan thesis di bawah penyelia yang diikitiraf di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Penyelidik perlu menetapkan objektif penyelidikan yang dapat memberikan pengetahuan baharu dalam bidang mereka, kemudiannya menjalankan kajian literatur untuk menyelidik dan memahami kajian-kajian yang telah dilakukan terdahulu. Proses ini amat penting sebagai permulaan sesebuah kajian di peringkat PhD. Ramai yang tersangkut pada peringkat ini. Kajian PhD perlukan sesuatu yang baharu (novelty) dalam bidang masing-masing.

Sesudah kajian literatur barulah objektif kajian dan metodologi dapat dikembangkan. Seterusnya pelajar akan mengumpulkan data untuk dianalisis dengan kaedah yang dipilih agar objektif penyelidikan tercapai. Analisis data akan menjawab persoalan dan seterusnya memberikan dapatan kajian sebelum kesimpulan dapat dibuat berhubung matlamat sesuatu kajian.

Pelajar PhD akan dinilai berdasarkan penulisan thesis mereka. Penulisan perlu menggunakan gaya akademik, bukannya bahasa berbunga-bunga seperti novel cinta. Cara menulis dan rujukan juga perlu mengikut piawaian yang ditetapkan. Ciplak atau plagiarisme tidak dibenarkan sama sekali. Proses terakhir ialah pembentangan dan mempertahankan thesis di hadapan pemeriksa dalaman dan luar. Kesemua peringkat dan proses untuk memperoleh sekeping ijazah PhD ini mengambil masa dan amat menguji kesabaran serta ketabahan setiap pelajar.

Oleh itu, nilai segulung ijazah PhD amatlah tinggi dan tidak seharusnya mana-mana individu boleh dengan sewenang-wenangnya mengambil jalan pintas dengan membelinya pada apa harga sekalipun. Gelaran yang diperoleh bersama dengan ijazah yang diterima membawa bersama tanggungjawab yang berat dan besar. Maka, penting dan perlu bagi pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Majlis Profesor Negara, bekerjasama membanteras pemalsuan PhD dan penyalahgunaan gelaran ini demi memelihara kualiti dan nilainya yang sebenar.

 

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan